Isnin, 14 Mei 2018 | 4:36pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menerima kunjungan tetamu ketika memulakan tugas pada hari pertama di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Mulakan tugas, tidak panjangkan lagi polemik politik - Mukhriz

ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan melaksanakan janji '100 hari' yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terutama berkaitan isu bekalan air, selepas pelantikan 10 ahli EXCO, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Katanya, pandangan empat parti dalam Pakatan Harapan (PH), iaitu PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), akan diambil kira sebelum kerajaan negeri memperkenalkan sebarang dasar.

"Ini adalah pendekatan politik yang berbeza daripada ketika saya menjadi Menteri Besar Kedah untuk kali pertama pada 2013.

"Kita akan berbincang dalam Majlis Pengerusi PH negeri sebelum membawa perkara itu ke peringkat kerajaan," katanya selepas memulakan tugasan rasmi di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Ketibaan beliau disambut oleh Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmod Naim, dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Datuk Arminshah Siraj.

Mengulas lanjut mengenai isu bekalan air, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan mengadakan kajian terperinci bagi mencari jalan penyelesaian terbaik masalah itu.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan kerajaan negeri dan anak syarikat milik kerajaan negeri untuk menghentikan sementara pembayaran kepada projek membabitkan kos lebih RM100,000, bagi tujuan penilaian semula.

"Arahan itu dibuat kerana saya mendapat tahu ada beberapa kontrak, termasuk kontrak loji rawatan air, ditandatangani dua hari sebelum PRU dan ini tidak sepatutnya berlaku dalam kerajaan sementara.

"Saya akan mendapatkan nasihat daripada pegawai undang-undang sama ada surat anugerah seperti itu boleh dianggap sah kerana ia dilakukan ketika kerajaan masih bergelar 'caretaker'," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Kedah akan menilai semula Bajet 2018, malah perkara berkenaan turut dibincangkan Majlis Pengerusi PH negeri malam tadi.

"Seperti diketahui, Kedah tidah mempunyai pendapatan yang banyak. Perkara ini sudah tiga kali dibangkitkan dalam Majlis Presiden PH, termasuk jika PH menang dalam pilihan raya serta berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kedah, tumpuan khas perlu diberikan kepada negeri ini.

"Kedah antara negeri tercorot dalam banyak aspek, termasuk pembangunan dan pendidikan. Oleh itu, kita berharap Kerajaan Pusat akan memberi perhatian lebih sedikit kepada Kedah sebagai menyatakan penghargaan kita," katanya.

Mengenai pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker pula, Mukhriz berkata, beliau akan berbincang dengan pembangkang demi mewujudkan kerjasama bagi membolehkan agenda pentadbiran negeri diteruskan.

"Selepas dua tahun tertumpu pada politik sehingga letih, rakyat menanti untuk kita memberikan khidmat. Oleh itu, semua pihak termasuk kerajaan dan pembangkang, perlu bekerjasama memulakan tugas sebagai wakil rakyat serta tidak memanjangkan lagi polemik politik," katanya.

Mengenai peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang pula, Mukhriz berkata, perkara itu akan diperhalusi bagi memastikan rakyat di kawasan terbabit tidak terabai.

3422 dibaca
Berita Harian X