Khamis, 17 Mei 2018 | 2:21pm
KON Yeow (kanan) mempengerusikan mesyuarat EXCO kali pertama di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - Foto Ramdzan Masiam

2 parti komponen PH berlapang dada

GEORGETOWN: Dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) bersikap terbuka terhadap keputusan kerajaan Pulau Pinang yang tidak melantik wakil mereka dalam senarai EXCO yang diumumkan semalam.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya, berkata pihaknya menerima dan menghormati keputusan dibuat Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

"Memang ada perbincangan dan kita juga sudah mencadangkan supaya setiap parti ada wakil dalam barisan EXCO.

"Namun, mungkin Kon Yeow mahu kekalkan EXCO sedia ada kerana kebanyakan EXCO adalah daripada barisan penggal terdahulu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan lima muka baharu sebagai EXCO pada Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan di Dewan Sri Pinang, di sini.

Bagaimanapun, tiada wakil PPBM dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dilantik sebagai EXCO dalam senarai baharu pentadbiran kerajaan negeri itu.

Kon Yeow dalam kenyataannya semalam berkata, keputusan mengekalkan majoriti EXCO terdahulu dibuat bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar serta mampu menggalas tanggungjawab kepemimpinan terdahulu.

Sementara itu, Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pihaknya berharap kerajaan negeri dapat menimbangkan wakil parti itu dalam beberapa jawatan lain diperingkat pentadbiran, termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

"AMANAH bukannya tidak menang pilihan raya, kita menang. Saya akan teruskan perbincangan dengan kerajaan negeri untuk jawatan lain, seperti Ahli Majlis atau di GLC.

"Niat kita jelas, kita mahukan seperti di Kedah, walaupun hanya ada dua wakil rakyat DAP tetapi mereka tetap lantik seorang dalam EXCO," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH Pulau Pinang memenangi 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan DAP menang semua 19 kerusi, PKR (14), PPBM dan AMANAH masing-masing hanya dua kerusi DUN.

8523 dibaca
Berita Harian X