Jumaat, 18 Mei 2018 | 9:58pm
Dr Maszlee Malik

Dr Maszlee terkejut dilantik Menteri Pendidikan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang dilantik Menteri Pendidikan dilaporkan terkejut dengan pelantikan itu, namun berjanji memberikan perkhidmatan terbaik apabila menyandang jawatan terbabit.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan barisan Kabinet Pakatan Harapan (PH) hari ini dan menamakan Dr Mazlee sebagai Menteri Pendidikan.

Sebelum ini Perdana Menteri turut menamakan beliau sebagai Menteri Pendidikan tetapi melepaskannya kerana bercanggah dengan manifesto PH.

"Saya tidak menyedari mengenai pelantikan itu dan saya rasa ini satu penghormatan. Saya akan lakukan yang terbaik berkhidmat kepada rakyat dan negara," katanya seperti dipetik portal Malaysiakini.

Maszlee adalah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada Mac lalu, sebelum dipilih menjadi calon di Parlimen Simpang Renggam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau memperoleh 18,157 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Liang Teck Meng yang menerima 14,682 undi serta calon PAS, Mohd Jubri Selamat (2,983 undi), sekali gus menang dengan majoriti 3,475 undi.

Berita Harian X