X
Selasa, 22 Mei 2018 | 3:40pm
PEMANGKU Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melambai kearah jurugambar setelah keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. - Foto Azhar Ramli
PEMANGKU Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, melambai kearah jurugambar setelah keluar dari perkarangan Istana Arau dipercayai baru mengadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berikutan kemelut perlantikan Menteri Besar Perlis. - Foto Azhar Ramli

Raja Perlis terima menghadap Zahid, Hishammuddin

ARAU: Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis memasuki fasa baru, selepas Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini, hari ini.

Turut bersama Zahid, adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

Mereka tiba bersama menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire berwarna putih pada jam 11.20 pagi.

Zahid dan Hishammuddin dilihat berada di dalam Bilik Biru Istana Arau sebelum masuk menghadap Raja Perlis yang tiba di Istana Arau sekitar jam 11.55 pagi.

Kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu menghadap Tuanku Syed Sirajuddin untuk membincangkan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis yang hari ini sudah memasuki hari ke-13.

Kedua mereka kemudian meninggalkan Istana Arau pada jam 1.15 tengahari, selepas meluangkan masa lebih sejam menghadap Raja Perlis.

Zahid ketika ditemui, tidak menjawab soalan pemberita sebaliknya beliau dan Hishammuddin melambai tangan sambil mengucapkan terima kasih berulang kali.

Sementara itu, sumber berkata, Menteri Besar Perlis sebelum ini, Datuk Seri Azlan Man mungkin kembali menjawta jawatan itu.

Ini berikutan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Azam Rashid turut dilihat berada di istana dan menguatkan lagi dakwaan Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar bakal memimpin Kerajaan Negeri Perlis pada penggal ini.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis bermula selepas Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mencadangkan ADUN Tambun Tulang yang juga adiknya, Datuk Ismail, sebagai calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, Timbalannya, Azlan yang juga ADUN Bintong pula mendakwa tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan.

Susulan itu pada Rabu lalu, Raja Perlis memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan tujuan baginda memanggil adalah bagi mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.

Berita Harian X