Selasa, 22 Mei 2018 | 5:43pm
MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (enam dari kiri) bergambar bersama 10 Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) selepas Majlis Pelantikan Exco di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit hari ini. Kelihatan (dari kiri) Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Halimaton Shaadiah Saad, ADUN Derga Tan Kok Yew, ADUN Kubang Rotan Mohd Asmirul Anuar Aris, ADUN Bakar Arang Ooi Tze Min, ADUN Pengkalan Kundur Datuk Dr Ismail Salleh, ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah, ADUN Suka Menanti Zamri Yusuf, ADUN Lunas Azman Nastudin, ADUN Bukit Selambau R.Summugam dan ADUN Kota Siputeh Dr Salmee Said.- Foto BERNAMA

Amiruddin ketuai EXCO Kedah angkat sumpah jawatan

ALOR SETAR: Dua bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah ketika dibawah pentadbiran PAS terdahulu. adalah antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah bagi jawatan itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Istana Anak Bukit, di sini, hari ini.

Mereka ialah bekas Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) Datuk Amiruddin Hamzah dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Semua 10 EXCO Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu membabitkan empat ADUN daripada parti PKR, AMANAH (tiga); Parti Pribumi Bersatu Malaysia (dua) dan DAP (satu).

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazudin Ariff Sultan Sallehuddin.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Amiruddin yang juga ADUN Anak Bukit mengangkat sumpah porfolio Kewangan, Syarikat milik kerajaan negeri, Industri dan Pelaburan, Agama; manakala Dr Ismail iaitu ADUN Pengkalan Kundor sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar.

ADUN Derga, Tan Kok Yew memegang portfolio Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan; ADUN Suka Menanti, Zamri Yusuf (Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga);

ADUN Lunas, Azman Nasrudin (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan, Pembangunan Insan); ADUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan, Badan-badan bukan kerajaan).

ADUN Bakar Arang, Ooi Tze Min memegang portfolio Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Alam Sekitar; ADUN Kota Siputeh, Dr Salmee Said (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Perdagangan Dalam Negeri).

ADUN Bukit Selambau, R.Summugam memegang portfolio Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi; ADUN Bukit Kayu Hitam, Halimaton Shaadiah Saad (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan).

Majlis angkat sumpah itu disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah dan Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Abdul Rahman Abdullah.

Mukhriz pula akan memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri.

PH berjaya menubuhkan kerajaan di Kedah selepas memenangi 18 kerusi DUN daripada keseluruhan 36, manakala PAS (15) dan Barisan Nasional (BN) tiga.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X