Rabu, 23 Mei 2018 | 4:30pm
DATUK Seri Azlan Man. - Foto Azhar Ramli

Azlan kekal sebagai MB Perlis?

KANGAR: Penantian rakyat Perlis untuk mendapat Menteri Besar sudah terjawab apabila majlis istiadat dan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis dijadual berlangsung di Balai Menghadap, Istana Arau di sini, pagi esok.

Namun, masih menjadi tanda tanya siapa bakal menerajui negeri ini susulan jemputan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis tidak menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar.

Calon yang dilihat paling layak dan berpotensi untuk menggalas jawatan ini adalah Menteri Besar penggal lalu yang juga ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man.

Sama ada beliau mendapat sokongan ADUN lain atau tidak itu adalah perkara kedua kerana perkara paling utama dan penting ialah beliau dikatakan mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Azlan adalah individu yang sentiasa berada di sisi Raja Perlis dan beliau sentiasa dilihat ada di setiap majlis yang dihadiri Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Malah, apabila berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, ketika sembilan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) 'hilang', Azlan satu-satunya wakil rakyat BN bersama baginda di Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri 5, di Masjid Alwi, di sini pada 13 Mei lalu.

Pada majlis berkenaan juga, Raja Perlis bertitah memerlukan masa untuk memberi perkenan kepada calon Menteri Besar kerana tidak mengenali senarai nama yang diserahkan kepada baginda.

Titah baginda itu sehari selepas kenyataan Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar yang baru.

Susulan itu, 10 wakil rakyat BN termasuk Azlan dan Ismail dititah menghadap Raja Perlis pada Rabu lalu, difahamkan bagi memudahkan Raja Perlis mengenali lebih dekat semua wakil rakyat.

Keesokannya, Raja Perlis berkenan meraikan sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-75 dengan mengadakan majlis iftar Ramadan dan bersolat sunat tarawih, di mana semua wakil rakyat tidak mengira parti termasuk Azlan hadir, kecuali Ismail.

Semalam, ketika Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Raja Perlis, hanya ADUN yang dikatakan berpihak kepada Azlan sahaja dilihat menemani Ahmad Zahid di Istana Arau.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Azam Rashid, turut dilihat berada di istana, sekali gus menguatkan lagi dakwaan Azlan bakal memimpin Kerajaan Negeri Perlis pada penggal ini.

Berita Harian X