Khamis, 24 Mei 2018 | 7:08pm
GAMBAR fail, Datuk Seri Shahidan Kassim. - Foto BERNAMA

Shahidan 'tak mahu' Azlan

KUALA LUMPUR: Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis, berterusan apabila Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man oleh Raja Perlis.

Shahidan menganggap bantahan dan tindakan memboikot upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, hari ini dengan membawa sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Barisan Nasional (BN) ke Kuala Lumpur, bukan suatu penderhakaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Ditanya tindakannya itu mungkin menyebabkan Raja Perlis murka, beliau berkata: " Apa itu murka? Cuba anda jelaskan pada saya apa makna murka, apa maknanya murka?...Ini hanya bahasa yang diperindahkan sedemikian rupa.

"Ini tidak adil, kami menang pilihan raya...kami berhak untuk menentukan pemimpin kami...kami bekerja keras, berjuang jiwa dan raga untuk menang pilihan raya. Kami sudah menang dengan majoriti dua pertiga.

"Murka itu soalan anda. Saya tidak faham makna murka, saya ikut perlembagaan.

"Saya mohon campur tangan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang arif dalam hal berkaitan undang-undang dan perlembagaan dan merayu campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya pelantikan MB Perlis dapat disegerakan," katanya.

Shahidan juga menegaskan, pelantikan Menteri Besar perlu mendapat sokongan majoriti dan memang ada klausa menyatakan Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja, tetapi perlu mengambil kira sokongan majoriti.

Katanya, beliau dan sembilan ADUN itu akan menghadap Tuanku Raja Perlis seminggu sebelum Hari Raya bagi membincangkan kemelut pelantikan Menteri Besar itu.

Azlan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin jam 11.10 pagi tadi, di Balai Menghadap, Istana Arau. Hanya tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS yang hadir.

Sebelum ini, Shahidan mengumumkan nama ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi (DUN, manakala PH tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Berita Harian X