Jumaat, 25 Mei 2018 | 12:04pm

Azlan mulakan tugas MB

KANGAR: Datuk Seri Azlan Man hari ini memulakan tugas sebagai Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, ketika pelantikannya dilanda kekecohan berikutan dibantah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Azlan yang berpakaian sut serba hitam dengan bertali leher berwarna merah tiba pada jam 10.10 pagi dengan diiringi beberapa pegawai kakitangan awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu tersenyum sebaik melihat puluhan wakil media menanti beliau di tingkat tiga bangunan berkenaan.

"No more drama (tiada lagi drama), masa untuk bekerja," katanya ringkas kepada pihak media.

Azlan juga sempat melihat beberapa naskhah akhbar di atas mejanya yang hampir semuanya memaparkan berita dan laporan mengenai krisis politik negeri ini.

Semalam, Azlan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas dua minggu negeri ini tidak mempunyai Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun lantikan Azlan mendapat tentangan daripada Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Malah, sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) Perlis turut memboikot majlis mengangkat sumpah yang diadakan di Istana Arau sehingga mengundang kemurkaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirjaduddin Putra Jamalullail.

Raja Perlis dilaporkan kecewa dan murka kerana semua ADUN terbabit berada di Perlis ketika jemputan dihantar kepada mereka, iaitu dua hari sebelum majlis bermula.

MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menunjukkan akhbar New Straits Times yang memaparkan gambar dan berita berkaitan beliau di muka hadapan selepas tiba di pejabatnya di Aras 3, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di Persiaran Wawasan. - Foto Hafizudin Mohd Safar
Berita Harian X