Jumaat, 25 Mei 2018 | 4:59pm
ANWAR ditemui media selepas selesai menyampaikan tazkirah dan bersolat Jumaat bersama penduduk di Masjid Cherok Tokkun di Bukit Mertajam, hari ini. - Foto Danial Saad

Bincang sama sendiri

BUKIT MERTAJAM: "Boikot tak akan selesai masalah, semua pihak dan ADUN perlu berbincang dan selesaikan dengan cara baik," demikian pendapat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan tindakan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang bertindak memboikot Majlis Angkat Sumpah MB Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Istana Arau, semalam.

Beliau berkata, tindakan yang harus dilakukan ialah melalui perbincangan di kalangan ADUN di Perlis bagi menentukan penyelesaian terbaik mengenai krisis berkenaan.

Ketika ditanya mengenai permintaan Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam isu itu, Anwar berkata, ia bergantung kepada Tun untuk menentukan perkara itu sama ada mahu campur tangan atau sebaliknya.

Anwar berkata demikian selepas selesai menyampaikan tazkirah dan bersolat Jumaat bersama penduduk di Masjid Cherok Tokkun di sini, hari ini.

Semalam, sembilan ADUN BN tidak hadir ke istiadat mengangkat sumpah jawatan MB Perlis yang berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hingga menyebabkan baginda murka.

Azlan, 60, yang juga ADUN Bintong dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas BN berjaya mempertahankan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.


AZLAN (kanan) meneliti beberapa dokumen sebaik tiba di pejabatnya di Aras 3, Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di Persiaran Wawasan untuk memulakan tugas rasmi. - Foto Hafizudin Mohd Safar

PRU-14 menyaksikan BN berjaya meraih 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) menang tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

Susulan kemenangan itu, Shahidan mengumumkan nama ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar baharu, tetapi pihak istana lebih berminat dengan Azlan.

Berita Harian X