Jumaat, 8 Jun 2018 | 5:30pm
DATUK Zainol Fadzi Paharudin. - Foto Effendy Rashid
DATUK Zainol Fadzi Paharudin. - Foto Effendy Rashid

Perlantikan Zainol Fadzi untuk kukuhkan kerajaan negeri

IPOH: Pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, bagi memperkukuhkan kedudukan dan pentadbiran kerajaan negeri itu di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, pelantikan itu juga mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selain dibincang dan dipersetujui sebulat suara oleh Majlis PH negeri.

Beliau mengakui menerima pelbagai reaksi berhubung pelantikan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu sebagai Penasihat Khas Menteri Besar, selepas menyokong Pakatan Harapan (PH) hingga berjaya membentuk kerajaan negeri.

"Kami menghormati pandangan yang berbeza dari pihak lain berhubung perkara ini.

"Namun kita perlu berhati-hati dan menyelidiki sebelum mengutarakan sesuatu isu kerana walau niat dan tujuannya baik tetapi jika tersilap langkah akan menjadi sebaliknya.

"Ambillah pengajaran dari apa yang pernah berlaku pada mereka yang pernah diberi amanah sebelum ini, hilang arah tuju kerana meletakkan agenda peribadi mengatasi apa yang diperjuangkan," katanya dalam kenyataannya yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada beberapa kenyataan yang tersebar di media sosial yang mempertikaikan pelantikan itu, termasuk

Setiausaha Otai Reformis, Akhi Nosa Iskandar @Noorddin Salleh, yang antara lain menyatakan Otai Reformis '98 di seluruh negara akan membuat bantahan rasmi Isnin ini.

Mereka akan turun ke Pejabat Menteri Besar dalam tempoh seminggu kemudian jika Menteri Besar tidak menarik balik pelantikan berkenaan, menyatakan rakyat Perak akan turun bersama dalam #Solidariti Membantah Pelantikan Penasihat Khas MB Perak dan meminta pertubuhan bukan kerajan (NGO) mesra PH untuk turut membantah.

Mereka juga akan meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan Ahmad Faizal menarik balik pelantikan itu kerana melukakan hati pengundi di Perak, selain akan meminta Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, campur tangan dalam isu itu.

Mohd Hafez Mubin berkata, ketika keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini, penubuhan kerajaan negeri Perak agak rumit apabila tiada mana-mana pihak bertanding dapat menubuhkan kerajaan kerana tidak mendapat majoriti mudah.

Katanya, situasi berubah apabila Zainol Fadzi dan seorang lagi wakil rakyat BN, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi membuat keputusan menyokong pembentukan kerajaan PH Perak, sekaligus merealisasikan hasrat rakyat yang mahukan negeri ditadbir kerajaan baharu selari dengan kerajaan pusat.

Justeru, beliau menyeru kepada semua pejuang PH Perak bersama memartabatkan pemikiran dan tindakan supaya menjadi contoh terbaik buat rakyat yang mengangkat mereka asalnya pembangkang kepada menjadi kerajaan.

Pada PRU-14 lalu, PH hanya memenangi 29 kerusi DUN, BN (27) dan PAS (3), menyebabkan tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah iaitu 30 kerusi.

Bagaimanapun, dengan sokongan Zainol Fadzi dan Nolee Ashilin, PH dapat membentuk kerajaan negeri dengan Ahmad Faizal mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar.

Berita Harian X