Ahad, 17 Jun 2018 | 2:11pm
MOHD Najib Mohd Noor (kiri) yang mewakili Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyerahkan borang pencalonan jawatan Presiden UMNO di kaunter penyerahan borang pencalonan pemilihan pucuk pimpinan parti UMNO, Menara Dato Onn. - Foto Mohd Yusni Ariffin
MOHD Najib Mohd Noor (kiri) yang mewakili Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyerahkan borang pencalonan jawatan Presiden UMNO di kaunter penyerahan borang pencalonan pemilihan pucuk pimpinan parti UMNO, Menara Dato Onn. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Sokong beri laluan kepada Ku Li

GUA MUSANG: UMNO bahagian Gua Musang menyokong cadangan pelbagai pihak supaya memberi laluan kepada Tengku Razaleigh Hamzah menjawat jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu hujung bulan ini.

Naib Ketua UMNO Gua Musang, Ab Aziz Yusof berkata, Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu parti itu atas kehendak ahli akar umbi.

Katanya, tanpa pertandingan bukan bermaksud amalan demokrasi ditolak tetapi ia membuktikan keseluruhan pemimpin dan ahli parti memberi penghormatan kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu.

"Ahli parti di bahagian ini menyanjung tinggi keputusan Ku Li yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

"Kita semua berdiri teguh di belakang Ku Li kerana menyedari kekuatannya untuk memulihkan parti ini di seluruh negara," katanya kepada pemberita di rumah terbuka Aidilfitri beliau di kediamannya di Taman Kesedar Jaya di sini, hari ini.

Bagi Bendahari UMNO Gua Musang, Zamzani Harun, Ku Li adalah pemimpin veteran yang paling lama menerajui UMNO bahagian dan berkemampuan memimpin UMNO.

"Sejarah juga membuktikan kemampuan Ku Li ketika pernah menerajui Parti Semangat 46 sekitar tahun 80 an dan masih dihormati untuk menerajui UMNO pula kali ini," katanya.

Semalam, Ku Li menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang, sekali gus mencabar Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Susulan itu, beberapa pihak termasuk Veteren UMNO tampil meminta Ahmad Zahid untuk tidak bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan parti itu pada hujung bulan ini.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub dipetik berkata, Ahmad Zahid perlu memberi tumpuan untuk menyokong Ku Li dengan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Berita Harian X