Rabu, 20 Jun 2018 | 12:55pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim. - Foto Azhar Ramli
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim. - Foto Azhar Ramli

Tiada tempat untuk Ismail dalam PPBM

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perlis menolak hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, menyertai parti itu selepas mengisytiharkan keluar UMNO malam tadi.

Pengerusi PPBM Perlis, Amier Hassan, berkata parti itu tidak memerlukan pemimpin dari UMNO untuk menyertai parti itu.

Malah, katanya Ismail yang juga adik kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, perlu melihat kemampuan dirinya dahulu sekiranya ingin menyertai PPBM di Perlis.

"Parti ini sudah kukuh dari segi struktur kepemimpinan di dalam negeri ini, meskipun kita (Pakatan Harapan) kalah di Perlis, perbezaan majoriti undi tidak begitu ketara dengan Barisan Nasional (BN).

"Jadi kita tidak perlukan pemimpin UMNO untuk menyertai parti ini kerana dia perlu melihat semula matlamat asalnya dalam perjuangan politik," katanya.

Menurut Amier, tindakan Ismail yang mahu menyertai PPBM juga menunjukkan dirinya sendiri tidak mempunyai pendirian tetap dan setia terhadap parti lamanya.

"Dia sendiri sudah menyatakan secara terangan bahawa sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk kepemimpinan UMNO.

"Jika dia betul-betul mahu bercakap soal perjuangan, sepatutnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lagi dia sudah buat keputusan ini.

"Ini apabila sudah kalah baru mahu menyatakan sokongan, jadi saya tak mahu sentuh sekiranya beliau (Ismail) mempunyai agenda yang tersendiri dengan keputusan yang dibuat," katanya.

Amier berkata, PPBM tidak perlukan pemimpin UMNO untuk menyertai PPBM kerana ia boleh menyerapkan budaya dan amalan rasuah ke dalam parti itu.

"Kita sudah ada banyak calon dan pemimpin yang lebih berwibawa dari dia (Ismail), jadi tiada tempat untuknya dalam parti ini," katanya.

Berita Harian X