Jumaat, 22 Jun 2018 | 5:03pm
KETUA Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin. - Foto Amran Hamid

Ketua Pemuda, Puteri Kedah kosongkan jawatan

ALOR SETAR: Mesyuarat sayap UMNO Kedah esok, dijangka menyaksikan penyandang jawatan Ketua Pemuda dan Puteri negeri tidak mempertahankan jawatan peringkat bahagian bagi membolehkan calon baharu dipilih.

Mereka ialah Ketua Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, yang mengosongkan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Merbok dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Datin Norashima Mohd Nawar, yang tidak mempertahankan jawatan Ketua Puteri UMNO Sik.

Tempat Shaiful Hazizy akan diserahkan kepada Aizat Azam yang juga calon EXCO Pemuda UMNO Malaysia, manakala Norashima pula menyerahkan jawatannya kepada Sharifah Nasyatul Syamira Syed Salim.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kedah, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah, pula mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita UMNO Alor Setar selepas menang tanpa bertanding.

Bagi pergerakan sayap Wanita UMNO, hanya tiga bahagian saja dilaporkan berlaku pertandingan bagi merebut jawatan ketua iaitu di Kulim-Bandar Baharu, Baling dan Sungai Petani.

Pertandingan di Baling dijangka panas apabila penyandang Ketua Wanita UMNO bahagian itu iaitu, Datuk Dr Mashitah Ibrahim ditentang Ketua Puteri UMNO, Suriati Che Mid.

Di Kulim-Bandar Baharu pula dilihat menarik apabila Ketua Puteri UMNO bahagian itu, Datuk Norsabrina Mohd Noor, mencuba nasib bertanding merebut jawatan Ketua Wanita menentang penyandangnya, Nazira Abd Rahim.

Ketua Wanita UMNO bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob pula dilaporkan mengosongkan jawatan itu untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Pendang dan tempatnya diganti oleh Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang, Latifah Wahab.

Sementara itu, Sharifah Maznah, ketika dihubungi berkata pihaknya mahu pertandingan yang wujud dalam kalangan Wanita berjalan dalam suasana kekeluargaan dan sihat.

"Meskipun ada tiga bahagian yang menyaksikan pertandingan bagi jawatan Ketua Wanita Bahagian, saya jangka ia berlangsung dalam keadaan yang tenang kerana pertandingan ini harus ada bagi menghormati kehendak akar umbi, " katanya.

Shaiful Hazizy pula berkata, sebanyak tujuh daripada 15 bahagian Pemuda tidak mengadakan pertandingan jawatan ketua iaitu di Langkawi, Alor Setar, Kubang Pasu, Jerai, Pendang, Merbok dan Padang Serai.

"Bagi lapan bahagian lain yang ada pertandingan adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya habis tempoh umur dan akar umbi mahukan perubahan, namun saya menekankan kepada mereka supaya memilih pemimpin disukai rakyat dan bukan hanya diminati dalam UMNO, selain bebas daripada skandal," katanya.

Norashima pula berkata, sayap Puteri menyaksikan tiga bahagian ada pertandingan iaitu di Jerlun, Baling dan Kulim-Bandar Baharu, manakala empat bahagian kekal manakala baki membabitkan pemilihan ketua Puteri UMNO bahagian yang baharu menang tanpa bertanding.

Berita Harian X