Sabtu, 23 Jun 2018 | 6:50pm
PEMANGKU Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media di Menara Dato Onn, PWTC. - Fot o Eizairi Shamsudin
PEMANGKU Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media di Menara Dato Onn, PWTC. - Fot o Eizairi Shamsudin

'Saya tetap kekal dalam UMNO jika tewas'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikrar untuk terus kekal dalam UMNO jika tewas pada pemilihan presiden akhir bulan ini.

Pemangku Presiden UMNO berkata, beliau akan terus membantu sesiapa saja yang dipilih perwakilan dalam usaha memperkukuhkan UMNO.

"Dan jika saya menang, saya tidak akan meninggalkan seorang pun (calon presiden yang tewas) untuk membantu saya melaksanakan agenda pembaharuan dalam usaha memperkukuhkan parti," katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Ahmad Zahid dicabar Ketua UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Turut menyertai saingan itu ialah Mohamed Iqbal Maricair dan Mohd Yusof Musa @ Jamaludin.

Ahmad Zahid yang juga Pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan meminggirkan Tengku Razaleigh dan Khairy jika beliau memenangi jawatan presiden, sebaliknya akan menggunakan pengalaman dan idea dua calon itu untuk bersama-sama menghidupkan UMNO kembali dan perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan dalam MT.

Ditanya mengenai pandangan bahawa Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li mempunyai kelebihan berbanding calon lain termasuk beliau, Ahmad Zahid berkata setiap calon mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

"Kita lihat sendiri nanti pada 30 Jun apabila keputusan diperoleh...saya harap kelebihan dan kekurangan dapat dihormati," katanya.

Mengulas mengenai pandangan bahawa Khairy mempunyai kelebihan kerana muda, beliau berkata ia hanyalah satu persepsi.

"Saya adalah kesinambungan kepemimpinan kerana saya diberikan amanah untuk menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO, maka tawaran untuk saya bertanding adalah satu kesinambungan.

"Saya sudah memberikan satu tanggungjawab kepada Khairy untuk mengetahui pasukan bertindak bagi penjenamaan semula, perubahan dan memberikan cadangan dalam tempoh 30 hari dari tarikh mesyuarat MT terakhir bagi melakukan perubahan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Jika perubahan itu mahu dilakukan ia perlu dilakukan secara kolektif yang perlu dibawa ke Perhimpunan Agung Tahunan atau Perhimpunan Agung Khas bagi diterima perwakilan yang mewakili ahli UMNO keseluruhannya," katanya.

Ditanya cabaran Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan supaya melafazkan sumpah laknat berhubung penafian yang meminta bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu mengaturkan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid berkata tiada keperluan untuk beliau melakukan tindakan yang boleh merendahkan tahap dan imejnya.

"Saya tidak perlu merendahkan imej dan tahap saya serendah beliau. Apabila saya membuat sumpah itu...Wabillahi, Watallahi...ia adalah muktamad sebagai orang Islam dari segi sumpah laknat," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai amalan politik wang, beliau berkata pertandingan sebarang jawatan dari serendah-rendah hingga ke peringkat atasan hendaklah sifar politik wang supaya jawatan yang dimenangi hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai kredibiliti, dan bukannya menggunakan wang untuk meraih sokongan dan undi.

"Kita memerlukan laporan rasmi di hantar ke ibu pejabat dan siasatan akan dilakukan Lembaga Disiplin," katanya ditanya mengenai dakwaan seorang EXCO Pemuda dari Johor terbabit dengan amalan politik wang untuk mengekalkan jawatan di peringkat bahagian dan nasional.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata UMNO perlu memberi peluang kepada kerajaan untuk menunaikan semua akujanji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk melihat tempoh selepas 100 hari supaya kerajaan dapat. melaksanakan beberapa langkah terutama memulihkan ekonomi dan agenda lain demi kepentingan rakyat.

"UMNO dan BN akan menjadi pembangkang yang konstruktif yang berwibawa dan menjadi pemantau kepada prestasi kerajaan," katanya.

Berita Harian X