Sabtu, 30 Jun 2018 | 2:41am
Debat Presiden UMNO 2018 bersama Calon Presiden, Tengku Razaleigh Hamzah (kiri), Khairy Jamaluddin serta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiada dalam gambar) di Astro Awani, Bukit Kewangan. - Foto Halim Salleh

Jangan cemari pemilihan dengan politik wang - KJ

KUALA LUMPUR: Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin, bimbang kemungkinan pemilihan parti itu dicemari amalan politik wang di saat akhir pemilihan.

Biarpun mengakui berpuas hati dengan perjalanan pemilihan setakat ini, beliau menegaskan, setiap perwakilan perlu sentiasa berhati-hati bagi mengelak terjebak politik wang dalam memilih calon tertentu.

"Ya, saya ada mendengar perkara yang agak membimbangkan (politik wang).

"Tapi, saya amat berharap apa yang saya dengar itu tidak betul dan dalam pemilihan kali ini tidak berlaku perbuatan 'beli undi' daripada perwakilan," katanya pada sidang media selepas program Debat Calon Presiden UMNO, yang disiarkan di Astro Awani, malam tadi.

Debat itu turut disertai dua lagi calon iaitu Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Khairy berkata, biasanya perbuatan membeli undi berlaku di saat akhir pada pemilihan UMNO dan ia perlu dihapuskan sama sekali untuk memastikan perwakilan dapat memilih dengan bebas tanpa ditekan atau dipaksa.

"Sama ada hal itu betul atau tidak, kita mesti pastikan kesahihan pelbagai maklumat yang didapati.

"Saya berpendapat semua tumpuan ramai kini pada UMNO untuk melihat proses pemilihan pucuk pimpinan UMNO kali ini bersih dan telus," katanya sambil menjelaskan beliau berpendapat amalan politik wang dalam UMNO sudah berjaya dikurangkan dengan begitu signifikan.

Khairy turut mengulangi pendiriannya yang beliau tidak sesekali akan meninggalkan UMNO jika tewas dalam pemilihan presiden, sebaliknya akan terus menyokong sesiapa saja yang dipilih oleh perwakilan.

Katanya, cabaran utama Presiden UMNO yang dipilih bukan saja untuk mengembalikan keyakinan rakyat, malah wakil rakyat parti itu sendiri, sekali gus mengelakkan mereka daripada meninggalkan parti.

"Saya berpandangan, punca utama kita kehilangan (wakil rakyat) Bagan Serai dan Bukit Gantang adalah kerana mungkin dalam keadaan ketiadaan kepimpinan.

"Sebab itu, bila presiden parti dipilih hari ini, tugas utama adalah untuk memanggil dan berbincang dengan semua wakil rakyat UMNO yang terpilih sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dengan segera untuk meyakinan mereka bahawa kita boleh 'survive' sebagai pembangkang.

"Mereka perlu diyakinkan kita mempunyai agenda yang jelas untuk sama-sama membina semula kekuatan parti dalam masa lima tahun lagi dan mendapatkan komitmen sertabsokongan mereka supaya tidak meninggalkan parti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Bagan Serai iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, mengisytihatkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta menjadi wakil rakyat bebas.

Dalam pada itu, Khairy enggan terlalu optimistik biarpun undian di media sosial memihak kepada beliau dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada perwakilan.

Katanya, beliau memanfaatkan masa singkat untuk berkempen, termasuk menjelajah ke seluruh negara menemui ahli parti di cawangan dan bahagian.

"Setiap calon perlu ada keyakinan untuk menang. Saya berkeyakinan bahawa keajaiban boleh berlaku esok dan ahli di bawah mahukan saya untuk melakukan perubahan.

"Saya nak pesan..jangan pekak kehendak rakyat. Kita nak pilih pemimpin UMNO yang boleh kembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

"JIka rakyat sudah menyatakan kehendak mereka, ia sepatutnya diberi perhatian oleh perwakilan dan mereka mesti memberanikan diri bawa perubahan," katanya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menekankan pentingnya peluang diberi kepada muka baharu dan golongan muda yang layak untuk diangkat sebagai pemimpin UMNO.

Berita Harian X