Khamis, 12 Julai 2018 | 5:55pm
AHLI Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar di sidang media mengenai pertandingan pilihanraya kecil Sungai Kandis selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Jemaah Haji 2018 Kawasan Parlimen Tanjong Karang di Bangunan UMNO Tanjong Karang. - Foto Roslin Mat Tahir

PRK Sungai Kandis: UMNO Selangor syor 4 nama

TANJONG KARANG: UMNO Selangor mengemukakan empat calon kepada kepemimpinan tertinggi parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, semua calon berkenaan terdiri daripada gabungan pemimpin lama dan baharu termasuk wanita serta lelaki.

Menurutnya, senarai nama itu akan diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk dipertimbangkan.

"Semalam saya jumpa Presiden (Ahmad Zahid) dan bincang dari hati ke hati, saya serahkan rumusan hasil perbincangan UMNO Selangor dan keputusan adalah di tangan Presiden.

"UMNO Selangor juga setuju menggunakan logo UMNO pada PRK ini, namun semua bergantung kepada pucuk pimpinan tertinggi parti," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada jemaah haji Parlimen Tanjong Karang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Noh berkata pihaknya juga akur sekiranya UMNO meletakkan calon yang bukan daripada pemimpin parti mahupun calon dari luar kawasan berkenaan.

"Kita akan beri sokongan penuh kepada calon tidak kira siapa pun yang diputuskan parti kelak, kita juga akan tampil dengan tema baharu ketika berkempen iaitu undi UMNO jika mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji," katanya.

Dalam pada itu, Noh berkata dirinya masih kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor sehingga Presiden mengumumkan penggantinya dan beliau akan menolak sekiranya dipilih semula.

"Yang pasti bukan saya, saya dah gagal memimpin Barisan Nasional (BN) Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

"Saya beri peluang kepada orang baharu yang ada pendekatan lebih baik berbanding saya untuk mengisi tempat ini," katanya.

Berita Harian X