Ahad, 15 Julai 2018 | 4:45pm
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Asyraf Hamzah

Ahli UMNO berpaling tadah perlu keluar parti - Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta ahli UMNO yang berpaling tadah selepas pemimpin dan parti jatuh serta kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), supaya keluar daripada parti itu.

Beliau berkata, UMNO hanya memerlukan ahli yang sanggup susah dan senang bersama parti.

"Kadang-kadang ada juga orang kita melaungkan kesetiaannya, tapi kesetiaan waktu kita berkuasa. Apabila kita dah tak ada kuasa, bendera UMNO dipijak-pijaknya.

"Orang begini memanglah lebih baik dia keluar UMNO. Kita hanya nak orang setia dan sanggup atau berani mati dalam UMNO," katanya seperti dilaporkan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu ketika berucap di hadapan sekumpulan penyokongnya di sebuah restoran, di sini, semalam.

Bekas Presiden UMNO itu yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan anaknya diraikan pada majlis ramah mesra anjuran Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) dan Wanita UMNO Cawangan Pulau Ketam.

Najib turut melahirkan kesedihan beliau atas kekalahan UMNO (Barisan Nasional) pada PRU-14 dan antara faktornya ialah ahli parti itu sudah lupa prinsip serta nilai perjuangan mereka.

"Kita lebih mementingkan apa yang kita boleh dapat. Kita lebih pentingkan kelompok kita sendiri, sehingga kalau kita tak dapat apa kehendak kita, kita sanggup membelakangkan parti.

"Malah ada juga berkelakuan seperti mengugut parti kita jika tak jadi calon, yang anehnya ia dilakukan oleh mereka yang ada jawatan dalam parti. Kalau inilah perangainya, maka tak hairanlah bila pembangkang mengasak kita, orang melihat UMNO ini dalam satu keadaan, di mana kita sudah lupa akan nilai tradisi perjuangan," katanya.

Berita Harian X