Ahad, 15 Julai 2018 | 4:50pm
PENGARAH Pilihanraya PAS Selangor dan Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Roslan Shahir Mohd Shahir. - Foto Saddam Yusoff
PENGARAH Pilihanraya PAS Selangor dan Timbalan Pengerusi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Roslan Shahir Mohd Shahir. - Foto Saddam Yusoff

PAS berhajat kerusi Sungai Kandis

SHAH ALAM: PAS tidak akan mencari peluang untuk bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sebaliknya mereka mahukan kesefahaman bersama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta parti politik pembangkang lain dalam usaha parti itu meletakkan calon di kerusi berkenaan.

"Kami mahu mencapai persefahaman dengan UMNO dan BN untuk bertanding di kerusi Sungai Kandis. Kami tidak melihat kepada kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN.

"PAS memerlukan persetujuan bersama UMNO dan BN bahawa kami yang akan bertanding satu lawan satu dengan pencabar dalam PRK kali ini, ini yang kami perjuangkan selama ini.

"Cara terbaik untuk kerusi DUN Sungai Kandis ialah pertandingan satu lawan satu dan kami berharap dapat mencapai persetujuan bersama dengan semua parti pembangkang.

"Kami mahu PAS bertanding di kerusi itu tetapi jika keputusan lain dibuat, kami akan mematuhinya," katanya kepada NSTP hari ini.

Roslan berkata demikian apabila ditanya mengenai pendirian PAS dan perkembangan parti itu menjelang PRK DUN Sungai Kandis.

Kerusi itu kosong selepas kematian wakil rakyat tiga penggalnya, Mat Shuhaimi Shafiei dari PKR selepa smenderita kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kerusi Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Mat Shuhaimi mempertahankan kerusi berkenaan dengan mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi dengan majoriti undi sebanyak 12,480, mengalahkan Kamaruzzaman yang mendapat 11,518 undi, manakala Mohd Yusof dan Hanafiah masing-masing memperolehi 7,573 dan 76 undi.

Roslan turut menafikan laporan yang menyatakan beliau mencadangkan supaya PAS dan UMNO bekerjasama untuk memenangi kerusi DUN Sungai Kandis.

Beliau yang mengulangi pendiriannya, berkata adalah lebih baik jika PAS yang berhadapan dengan PKR.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan supaya UMNO dan BN tidak bertanding pada PRK itu berikutan parti itu sudah mengalami pelbagai kontroversi yang menyebabkan parti itu tidak sesuai untuk bertanding.

Sementara itu, Roslan berkata, PAS dijangka membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, calon akan dicadangkan oleh PAS Kota Raja berikutan DUN Sungai Kandis berada di kawasan itu.

"Saya percaya mereka sudah memilih calon. Ia boleh jadi pemimpin tempatan, di peringkat negeri atau nasional," katanya.

Setiausaha Agong PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan akan dibuat selepas mesyuarat antara UMNO dan PAS.

Takiyuddin turut menyatakan perlu ada persefahaman antara parti pembangkang dan lebih baik jika PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X