Ahad, 15 Julai 2018 | 7:09pm

Wakil rakyat PH Perlis sokong Anwar

KANGAR: Wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) negeri ini menyatakan sokongan terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding sebagai Presiden PKR.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil, Gan Ay Ling (Indera Kayangan) dan Nor Azam Karap (Kuala Perlis) menyatakan kesediaan Anwar bertanding adalah keputusan yang sangat dialu-alukan.

"Beliau adalah tunjang kepada kesedaran rakyat terhadap agenda reformasi menyeluruh bagi memartabatkan semula negara di kedudukan terhormat.

"Namanya yang tidak pernah pudar di dalam dan di luar negara cukup untuk membuktikan kemampuan beliau memimpin," kata mereka menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mereka juga berkata, pencalonan Ketua Umum PKR itu sebagai calon bersesuaian dengan persetujuan PH yang bersetuju untuk menjadikan Anwar calon Perdana Menteri kelapan.

"Wajar ahli PKR memberikan sokongan padu kepada beliau untuk menjadi presiden parti dalam pemilihan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Harapan kami PKR akan terus berkembang maju sebagai parti berbilang kaum untuk seluruh rakyat Malaysia yang terus setia dengan perjuangan reformasi.

"Kami dengan ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Presiden PKR," kata mereka.

Semalam, Anwar yang juga Ketua Umum PH mengumumkan menawar diri bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti itu yang bakal diadakan bulan depan.

Keputusan itu dimuktamadkan selepas berbincang dengan isterinya yang juga Presiden PKR ketika ini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan pimpinan yang lain.

Berita Harian X