Isnin, 16 Julai 2018 | 12:17pm
NAIB Presiden PKR, Tian Chua. - Foto Roslin Mat Tahir

`Saya tunggu lagi' - Tian Chua

KUALA LUMPUR: "Tiada". Itu reaksi ringkas Naib Presiden PKR, Tian Chua mengenai kemungkinan ada desakan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti itu supaya beliau mempertahankan jawatan pada pemilihan parti, akhir bulan depan.

Bekas Ahli Parlimen Batu itu juga akan mengumumkan keputusan sama ada akan mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2010, tidak lama lagi.

"Saya akan umumkan keputusan dalam masa terdekat. Ramai lagi belum umum," katanya kepada NSTP, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan keputusan mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandang sejak 2014.

Ditanya mengenai pengumuman Shamsul Iskandar, Tian Chua berkata, beliau masih menunggu.

"Saya tunggu lagi," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai tindakan itu.

Tian Chua gagal mempertahankan kerusi Parlimen Batu apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati beliau hilang kelayakan bertanding kerana pernah dihukum denda RM2,000 atas kesalahan menghina polis.

Susulan itu, kerusi Parlimen berkenaan menyaksikan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang juga Naib Presiden Gerakan berdepan calon PAS, Azhar Yahya serta V M Panjamothy Muthusamy dan P Prabakaran yang masing-masing bertanding atas tiket Bebas.

Prabakaran yang memenangi kerusi Parlimen Batu dengan majoriti 224,438 undi kemudian menyertai PKR beberapa hari selepas berakhirnya PRU-14.

Berita Harian X