Isnin, 16 Julai 2018 | 1:59pm
KETUA UMNO Kalabakan, Abdul Karim Wahid (tengah) bersama kepemimpinan UMNO bahagian bergambar beramai selepas sidang media, di Kalabakan. - Foto Abdul Rahemang Taiming
KETUA UMNO Kalabakan, Abdul Karim Wahid (tengah) bersama kepemimpinan UMNO bahagian bergambar beramai selepas sidang media, di Kalabakan. - Foto Abdul Rahemang Taiming

UMNO Kalabakan nafi 2,000 ahli keluar parti

TAWAU: UMNO Bahagian Kalabakan menafikan 2,000 ahlinya keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) seperti diumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho, semalam.

Ketuanya, Abdul Karim Wahid, berkata kenyataan Abdul Muis itu tidak benar dan bertujuan untuk melunturkan semangat ahli UMNO Kalabakan, selain mahu meraih populariti mengukuhkan kedudukannya sebagai wakil rakyat Sebatik.

Katanya, UMNO Kalabakan juga menafikan kenyataan tujuh daripada ahli jawatan kuasa (AJK) bahagian yang baru dilantik pada pemilihan baru-baru ini, serta 45 ketua cawangan, meninggalkan parti dan menyertai WARISAN.

"Saya berpendapat ini adalah tindakan ini yang bersifat tidak 'gentleman' selain cubaan mensabotaj UMNO melalui cara yang tidak telus.

"Sebenarnya yang keluar parti itu adalah bekas AJK pada sesi lalu dan tidak bertanding pada pemilihan UMNO baru-baru ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Andy Mohd Suryady Andi Bandy dan Ketua Wanitanya, Chahaya Sulaiman.

Abdul Karim mendakwa, beberapa ketua cawangan UMNO bahagian itu diundang ke satu majlis makan tengah hari dianjurkan Abdul Muis semalam, sebelum diedarkan borang keahlian WARISAN.

Bagaimanapun, katanya, tiada seorang pun daripada mereka yang hadir ketika itu mengisi borang keahlian untuk menyertai parti berkenaan.

Berita Harian X