Rabu, 18 Julai 2018 | 4:10pm
BEKAS Timbalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar. - Foto Yazit Razali

Keputusan di Sungai Kandis cerminkan pendirian politik Melayu

KUALA LUMPUR: Pemerhati politik berharap berlaku pertembungan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos depan kerana ia akan menjadi kayu ukur terbaik bagi mencerminkan pendirian sebenar politik orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi bekas Timbalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, keadaan itu boleh dizahirkan menerusi PRK Sungai Kandis jika berlaku saingan satu lawan satu di DUN itu yang mana 70 peratus pengundi adalah Melayu.

"Keputusan PRK Sungai Kandis adalah satu analogi untuk menilai situasi sebenar politik tanah air dan undi popular yang benar-benar menjadi pilihan majoriti rakyat di negara ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas suhu atau mood PRK Sungai Kandis yang dijangka hangat susulan pilihan raya itu diadakan dalam tempoh kurang 100 hari PRU-14 , dalam waktu genting penilaian rakyat terhadap prestasi kerajaan yang kini ditadbir gabungan Pakatan Harapan (PH).

Wan Ahmad yang berpengalaman berkhidmat selama 16 tahun menguruskan pilihan raya berkata, rakyat akan menilai prestasi kerajaan baharu dan pembangkang yang ketika ini diterajui UMNO pada PRK Sungai Kandis.

Katanya, beliau yakin satu perubahan persaingan sihat dalam landskap politik tanah air yang mencerminkan situasi sebenar politik tanah air akan berlaku di Sungai Kandis.

"PRK Sungai Kandis akan menjadi sangat menarik kalau berlaku satu lawan satu (antara pembangkang dan PH).

"Kita (pemerhati politik) boleh melihat peratusan dan pecahan undi Melayu. Mood panas (pertembungan) ini menarik untuk pemerhati politik," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru di PRK Sungai Kandis, Wan Ahmad berkata calon pengacau jika ada, dijangka tidak akan mendapat undi besar.

Sementara itu, Wan Ahmad menjangkakan 85 peratus rakyat keluar mengundi, sama seperti ketika PRU-14.

"Kalau 80 peratus rakyat keluar mengundi sudah bagus. PRK Sungai Kandis dijangka sangat menarik kerana dalam masa 100 hari rakyat menilai prestasi kerajaan PH.

"Kita boleh lihat ada rakyat gembira dan ada rakyat tidak gembira, ...pengundi senyap atau pengundi atas pagar yang bukan dimiliki oleh mana-mana parti akan membuat pilihan mereka kali ini," katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyat tiga penggal, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor itu menang dengan majoriti 12,480 undi mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari yang memperoleh hanya 11,518 undi; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76 undi).

Berita Harian X