Rabu, 18 Julai 2018 | 4:37pm
MOHAMED Azmin Ali, ketika sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
MOHAMED Azmin Ali, ketika sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Azmin belum putuskan tanding jawatan tertinggi

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan tertinggi PKR pada pemilihan parti itu akhir bulan depan.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, beliau akan membuat keputusan mengenainya sebelum pemilihan parti akan datang.

"Ketika ini saya ingin memberi tumpuan kepada sesi Parlimen dan ia perlu menjadi keutamaan. Ini adalah sesi pertama kami dan pastinya banyak persoalan yang akan dibangkitkan.

"Kewajipan saya adalah menyediakan jawapan kepada soalan-soalan itu," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Pemilihan PKR dijangka diadakan akhir bulan depan, manakala semua pencalonan bermula pada 29 Julai ini.

Ahad lalu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan menawar diri bertanding jawatan presiden dan keputusan itu dimuktamadkan selepas berbincang dengan isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Mohamed Azmin dan barisan pimpinan yang lain.

Berita Harian X