Jumaat, 20 Julai 2018 | 12:39pm

BN pilih MT UMNO calon Sungai Kandis?

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) dijangka meletakkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Menurut sumber, calon terbabit dipilih selepas perbincangan yang dilakukan kepemimpinan tertinggi UMNO.

"Kita akur dengan keputusan yang diputuskan parti.

"Bagaimanapun, tunggu pengumuman petang ini yang dibuat Timbalan Presiden BN, Datuk Seri Mohamad Hassan," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Kota Raja meminta pucuk pimpinan parti memilih calon tempatan bertanding di PRK Sungai Kandis.

PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Mat Shuhaimi daripada PKR memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X