Jumaat, 20 Julai 2018 | 7:52pm
OTHMAN (dua dari kanan) melihat simulasi Pegawai Pendaftaran Penamaan Calon mendaftarkan nama calon di Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

SPR nasihat penyokong calon tak buat kacau

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan penyokong parti pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis esok, supaya tidak melakukan kekacauan yang boleh mencemarkan proses penamaan calon.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood turut mengingatkan kumpulan penyokong agar tidak melakukan perkara yang tidak diingini sekali gus melanggar undang-undang.

"SPR telah sediakan 100 keping pas kepada penyokong setiap parti bagi membolehkan mereka masuk ke perkarangan pusat penamaan calon bagi memberi sokongan kepada calon.

"...dan penyokong yang tidak mempunyai pas sama sekali kami tidak akan benarkan memasuki perkarangan pusat pengundian ini bagi memastikan kelancaran proses penamaan tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan petugas SPR di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Seksyen 19, hari ini.

Dalam pada itu, Othman berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan petugas SPR untuk penamaan calon pagi esok.

"Semua alatan dan hal-hal yang berkaitan untuk penamaan calon telah pun disempurnakan dan buat masa ini juga SPR hanya menerima dua calon sahaja dari dua parti yang akan bertanding... apa pun kami harap calon yang akan bertanding itu dapat mengemukakan borang pencalonan masing-masing sebelum 10 pagi esok," katanya.

SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi bagi PRK DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan esok.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, 2 Julai lepas. - BERNAMA

Berita Harian X