Jumaat, 20 Julai 2018 | 8:37pm
OTHMAN (kiri) melihat simulasi proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Tambah 21 saluran elak kesesakan - SPR

SHAH ALAM: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menambah 21 saluran pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 88 saluran disediakan dan berlaku kesesakan berikutan jumlah pengundi yang ramai.

"Justeru untuk penambahbaikan dan memudahkan pengundi, SPR tambah 21 saluran lagi menjadikan 109 saluran.

"Selain penambahan saluran, SPR juga memanjangkan tempoh mengundi selama 30 minit iaitu bermula dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang," katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Pusat Penamaan Calon PRK DUN 49 Sungai Kandis di Dewan Tanjung, Seksyen 19, di sini hari ini.

Othman berkata, tempoh berkempen adalah dua minggu dan diharapkan calon menggunakan tempoh itu sebaik mungkin serta berkempen secara berhemah.

Katanya, seramai 865 petugas bertugas sepanjang PRK itu dan sebahagian besar petugas sudah mempunyai pengalaman bertugas pada PRU lalu.

"Justeru, saya tidak nampak petugas menjadi masalah besar kerana masing-masing sudah cekap dalam tugas mereka.

"Seramai 69 pemerhati juga akan terbabit dalam PRK ini untuk memastikan ia telus, sempurna dan berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, Othman turut berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan menjelang proses penamaan calon esok.

"Proses penamaan bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 10 pagi. Saya juga berharap proses ini berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan," katanya.

Selain itu katanya, bilangan pengundi yang layak mengundi pada PRK DUN Sungai Kandis itu juga meningkat daripada 50,800 orang pada PRU-14 kepada 51,230 orang iaitu penambahan 430 orang.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas penyandang, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Sehingga kini, dua parti politik sudah mengumumkan calon iaitu PKR yang menampilkan Mohd Nawawi Ahmad Mughni dan Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan Datuk Lokman Noor Adam.

.

Berita Harian X