X
Jumaat, 20 Julai 2018 | 11:20pm
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood (berdiri tiga, kiri) melihat simulasi Pegawai Pendaftaran Penamaan Calon mendaftarkan nama calon di Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood (berdiri tiga, kiri) melihat simulasi Pegawai Pendaftaran Penamaan Calon mendaftarkan nama calon di Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung hari ini. - Foto BERNAMA

PRK: Penerimaan suam terhadap 'calon luar' BN

SHAH ALAM: Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Sungai Kandis dikatakan gagal membangkitkan keterujaan dalam kalangan pengundi tempatan.

Ia berikutan statusnya yang dianggap sebagai 'orang luar' membuatkan ada pengundi yang menyuarakan kekecewaan dengan pilihan kepimpinan UMNO Pusat itu.

Ketua UMNO cawangan Sri Bakti Jalan Kebun, Adi Anuwar Bahhari, berkata pada awalnya beliau agak kecewa kerana mengharapkan calon yang dipilih adalah dalam kalangan orang tempatan.

Namun demikian, katanya, kepimpinan parti pasti mempunyai alasan meletakkan Lokman sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

"Bagaimanapun, kita perlu akur dengan kepimpinan tertinggi dan terus melakukan tugas menggerakkan jentera. Beliau diletakkan sebagai calon berkemungkinan kebolehannya membuka minda golongan anak muda. Malah, beliau juga lantang menyuarakan isu semasa," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Adi Anuwar berkata, beliau juga yakin kepimpinan UMNO sedar apa yang mereka lakukan untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.

Sementara itu, seorang pengundi yang tidak mahu dikenali berkata, tindakan UMNO meletakkan calon luar mungkin disebabkan kekurangan calon tempatan yang berkualiti.

"Beliau (Lokman) adalah orang reformasi sebelum menyertai UMNO dan bagi saya rekod berkenaan kurang bagus untuknya terutamanya di Jalan Kebun kerana reformasi di kawasan itu sangat kuat.

"Seorang calon mesti punya rekod yang bagus iaitu mempunyai sahsiah serta pandai menyuarakan suara rakyat," katanya.

BN hari ini mempertaruhkan Lokman Noor Adam sebagai calon bagi PRK DUN Sungai Kandis.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan di pejabat UMNO Bahagian Kota Raja, di sini.

Lokman, 45, yang juga Presiden Pemantau Malaysia Baharu akan berdepan calon dari PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Berita Harian X