Sabtu, 21 Julai 2018 | 9:49am

Pusat penamaan calon kecoh

SHAH ALAM: Suasana tenang di pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19 menjadi kecoh sebentar tadi.

Kekecohan bermula apabila penyokong Barisan Nasional (BN) melanggar peraturan dengan menceroboh kawasan larangan 50 meter yang ditetapkan dan enggan mematuhi arahan walaupun sudah diberi amaran oleh pihak polis dan anggota keselamatan supaya berundur.

Kira-kira 20 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikerah mengawal keadaan apabila arahan pihak polis tidak diendahkan dan penghadang dipasang bagi mengelakkan penyokong BN terus berarak.

Laungan 'undur, undur' dan 'tipu rakyat' terus berkumandang manakala penyokong PKR yang berkumpul tidak jauh daripada penyokong BN di sepanjang Jalan Nelayan B terus mengejek dan melaungkan tanda sokongan apabila pihak FRU bertindak mengawal penyokong BN.

Penyokong BN yang kurang senang dengan kehadiran FRU bagi mengawal mereka tetapi tidak mengawal penyokong PH, cuba berunding dengan pihak polis mengenai penghadang yang dipasang.

DUA penyokong parti bersorak di depan Pusat Penamaan Calon bagi PRK DUN Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

PENYOKONG PKR di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad

Sekitar jam 9.26 pagi tadi, pihak FRU meninggalkan lokasi terbabit diiringi laungan sokongan dan tepukan daripada penyokong BN.

Penyokong BN dan PH terus berbalas ejekan dan melaungkan slogan dari sebalik penghadang sambil menuding jari ke arah satu sama lain.

Bagaimanapun, suasana agak terkawal dengan gelagat penyokong kedua-dua parti dilihat lebih kepada gurauan yang mengundang ketawa dan senyuman kedua-dua pihak.

Lagi berita menyusul.

PENYOKONG BN di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir
PENYOKONG BN di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENYOKONG PKR di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENYOKONG parti BN dan PKR berkumpul di luar dewan ketika pendaftaran penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Kandis di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Tanjung, Seksyen 19, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X