Rabu, 25 Julai 2018 | 5:56pm
AHLI Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. - Foto fail NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Ya, PAS dorong ahli undi UMNO - Nik Abduh

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti itu mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis.

"Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi UMNO? Saya jawab, Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata demikian susulan terdapat dakwaan yang tindakan PAS tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis hanya berusaha untuk menghidupkan UMNO selain didakwa hanya bersandiwara.

Bagaimanapun, PAS turut membuat pendirian tidak akan membantu calon BN berkempen dalam PRK itu.

Keputusan PAS tidak bertanding pada PRK itu mewujudkan polemik kepada ahli PAS berhubung calon yang harus mereka undi.

Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh berkata, pendirian itu dibuat kerana BN bukan rakan gabungan politik PAS dalam Gagasan Sejahtera.

"Maka, tiada arahan wajib yang mengarahkan ahli PAS mengundi UMNO/BN," katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata PH perlu dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini kerana masih gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.

Tiga calon bakal berentap dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini membabitkan pertembungan di antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K Murthy.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai.

Nik Mohamad Abduh turut berkata, PAS yakin dengan kebijaksanan ahlinya dalam membuat pilihan dan mengundi yang terbaik.

Katanya, ahli PAS tahu dengan kewajipan mengundi untuk memilih pemimpin yang baik menerajui negara.

"Arahan PAS adalah menolak kerajaan PH. Sikap dan pendirian PAS terhadap PH adalah sama, sama ada sebelum atau selepas PRU-14, iaitu menolak PH.

"Bagi PAS, PH bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Keadaan ekonomi dan sektor lain yang tidak stabil selepas PRU-14 semakin membuktikan benarnya pendirian PAS," katanya.

Beliau berkata, kegagalan awal kerajaan PH untuk mengotakan janji awal manifestonya menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan PH hari ini.

"Mengundi PH bererti menyuburkan dan membengkakkan lagi nafsu PH untuk mengalahkan PAS. Ertinya, ahli PAS mengundi PH adalah tindakan menikam diri sendiri. Ia tertolak," katanya.

Dalam dakwaan mengatakan PAS mahu menghidupkan UMNO dalam PRK itu, Nik Mohamad Abduh berkata, PAS menghidupkan UMNO dengan memberi kesedaran kepada UMNO dengan Islam.

"UMNO adalah abang PAS yang lama lupa diri akibat terlalu lama di anjung kuasa. Kesedaran UMNO adalah kekuatan kepada PAS untuk memastikan Islam lebih berdaulat di bumi ini.

"Islam memerlukan umatnya sendiri untuk bangkit mempertahankan agamanya," katanya.

Beliau berkata, UMNO hilang nafsu untuk mengalahkan PAS, sekali gus menjadikan UMNO bukan lagi ancaman yang utama kepada PAS hari ini.

"Malah, beberapa petunjuk baharu menunjukkan UMNO berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS. PAS amat mengalukannya," katanya.

Berita Harian X