Khamis, 26 Julai 2018 | 4:09pm
LOKMAN Noor Adam (tengah) menziarahi warga emas Zainah Mohd Razali yang kudung kaki kanan akibat penyakit kencing manis ketika berkempen di Kampung Johan Setia hari ini. - Foto BERNAMA
LOKMAN Noor Adam (tengah) menziarahi warga emas Zainah Mohd Razali yang kudung kaki kanan akibat penyakit kencing manis ketika berkempen di Kampung Johan Setia hari ini. - Foto BERNAMA

Terima kasih PAS - Lokman

KLANG: Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam menyambut baik sokongan PAS yang mendorong ahlinya untuk mengundi beliau dalam pilihan raya itu.

Lokman berkata, ini adalah kali pertama UMNO dan PAS bersolidariti dalam usaha berdepan Pakatan Harapan (PH).

"Terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di atas sokongan yang diberikan untuk menewaskan PH dalam PRK Sungai Kandis.

"Saya berharap semangat yang sama dapat diterjemahkan di peringkat akar umbi PAS dan UMNO. Semoga Sungai Kandis menjadi lembaran baharu ukhuwah Islamiah antara UMNO dan PAS," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nik Mohamad Abduh yang mengakui PAS mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis.

Dalam pada itu, Lokman menempelak calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni kononnya lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Sungai Kandis semalam, menguntungkannya.

"Saya menganggap Mohd Zawawi mungkin lupa ini ialah suasana pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Mungkin sebelum 78 hari lalu, rakyat terpedaya dengan fitnah terhadap Najib... sekarang tidak.

"Tidak semua orang termakan fitnah, tambahan pula sejak 78 hari mereka (PH) memerintah, mereka gagal mendakwa Najib dengan tuduhan mencuri wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB)," katanya.

Katanya, sudah pasti ramai yang akan bersimpati terhadap bekas Perdana Menteri itu yang teraniaya akibat fitnah oleh PH.

Berita Harian X