X
Khamis, 26 Julai 2018 | 6:29pm
SEKITAR Markas Tarbiyyah PAS di Kampung Jawa, Jalan Kota Raja, Klang. - Foto Osman Adnan
SEKITAR Markas Tarbiyyah PAS di Kampung Jawa, Jalan Kota Raja, Klang. - Foto Osman Adnan

Markas PAS bagai ditawan PH

KLANG: Walaupun PAS tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, namun agak mengejutkan apabila sekitar Markas Tarbiyyah parti itu di Kampung Jawa, Jalan Kota Raja di sini bagaikan ditawan Pakatan Harapan (PH).

Bendera dua parti gabungan PH iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) berkibar di sekitar markas berkenaan.

Agak mengejutkan kerana bendera Barisan Nasional (BN) langsung tidak dipasang di kawasan berkenaan biarpun Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti itu mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis.

Seorang penyokong BN dari Kampung Pandan, di sini, Ramli Ahmad, 66, berkata beliau terkejut kerana bukan saja di hadapan markas PAS, malah di seluruh kawasan Kampung Jawa dan sekitarnya seperti Bukit Badak, Bukit Naga dan Taman Bijaya hanya bendera PKR dan poster calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang kelihatan.

"Sebagai penyokong tegar BN sejak dulu, kini dan selamanya, sedih juga sebab sebab kami belum kenal wajah calon BN, entah siapa namanya tu si Lokmankah? (Datuk Lokman Noor Adam).

"Warga emas macam pak cik ni tiada telefon pintar dan tidak melayari media sosial serta memerlukan sepanduk dan poster untuk mengenali calon," katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tinjauan di sekitar Bukit Badak, Bukit Naga, Taman Bijaya, Jalan Raja Nong dan Jalan Datuk Muhammad Sidin mendapati hanya bendera PKR dan poster calon parti itu yang kelihatan.

Hanya di Teluk Menegon bendera BN kelihatan kerana kawasan itu dikatakan kubu kuat BN.

Tiga calon bakal berentap dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini membabitkan pertembungan antara Lokman, Mohd Zawawi dan calon Bebas, K Murthy.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Mengenai peluang BN merampas kerusi DUN Sungai Kandis, Ramli yang berniaga secara kecil-kecilan mengakui sukar menewaskan PKR, namun BN boleh melakukan kejutan jika bijak berkempen untuk menawan pengundi muda dan atas pagar.

"Susah menang kerana penduduk DUN Sungai Kandis khususunya di Kampung Jawa, Kampung Pandan dan Bukit Badak adalah kubu kuat PKR. Namun kita tidak seharusnya mengalah kerana kejutan boleh berlaku," katanya.

Berita Harian X