Khamis, 26 Julai 2018 | 7:48pm
BENDERA Parti PKR mula digantung di Kampung Batu 7 Jalan Kebun menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Dun Sungai Kandis 4 Ogos ini. - Foto Osman Adnan
BENDERA Parti PKR mula digantung di Kampung Batu 7 Jalan Kebun menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.49 Dun Sungai Kandis 4 Ogos ini. - Foto Osman Adnan
PENGARAH Perhubungan Media PKR Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Kandis, Dr Yaakob Sapari (kanan) menziarah rakannya Bekas Ketua Kampung Jalan Kebun, Sallehan Mat Tahir. - Foto Osman Adnan
PENGARAH Perhubungan Media PKR Pilihan Raya Kecil Dun Sungai Kandis, Dr Yaakob Sapari (kanan) menziarah rakannya Bekas Ketua Kampung Jalan Kebun, Sallehan Mat Tahir. - Foto Osman Adnan

Penyokong tegar PAS pilih calon PKR

KLANG: Keputusan PAS memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, tidak bermakna ahli parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan mengundi calon BN.

Begitu juga saranan pemimpin PAS lain seperti Ahli Jawatankuasa Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang sebelum dilaporkan mengakui parti itu mendorong ahli mengundi calon UMNO, seperti tidak diendahkan oleh sesetengah ahli partinya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan turut dipetik berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu dikalahkan pada 4 Ogos ini kerana masih gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.

Penyokong tegar PAS yang juga bekas Ketua Kampung Jalan Kebun di sini, Mohd Salehan Tahir, 75, berkata beliau akan menyokong PKR pada PRK 4 Ogos ini.

Beliau berkata, ia keputusannya walaupun sebelum ini menjadi ketua kampung mewakili kuota PAS ketika Pakatan Rakyat (PR) ketika itu merampas Selangor pada PRU-12 dan mengekalkannya pada PRU-13.

Mohd Salehan antara ketua kampung mengisi kuota PAS yang ditamatkan perkhidmatan oleh kerajaan negeri berkuat kuasa 30 Jun lalu, tidak lama selepas PH mengekalkan pemerintahan di Selangor pada PRU-14.

Katanya, beliau yakin calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughi mampu meneruskan perjuangan Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat Sungai Kandis.

Pemimpin PAS akar umbi itu turut menunjukkan mesej dalam aplikasi WhatsApp memaparkan perbualan beliau dan Mohd Zawawi yang mengandungi dorongannya  kepada calon PKR itu.

"Allahyarham Mat Shuhaimi (bekas ADUN Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei) amat rapat dengan saya. Kalau tiada imam, arwah akan menjadi imam.

"Keperibadian itu diwarisi Mohd Zawawi yang semua sedia maklum seorang pengetua pusat tahfiz. Insya-Allah, beliau akan memperoleh kejayaan dengan izin Allah," katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Sementara itu, bekas Ahli DUN PKR Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari yang juga bekas EXCO Kerajaan Selangor, juga yakin ramai lagi penyokong PAS akan menyokong PKR pada PRK berkenaan.

Berita Harian X