Khamis, 26 Julai 2018 | 8:58pm
ROSLAN Shahir Mohd Shahir. - Foto NSTP
ROSLAN Shahir Mohd Shahir. - Foto NSTP

Penyokong PAS perlu 'bertindak sewajarnya' - Roslan Shahir

SHAH ALAM: Ahli dan penyokong PAS diminta 'bertindak dengan sewajarnya' dalam usaha mengukuhkan suara pembangkang di Selangor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, ia berikutan PAS berpendapat suara blok pembangkang perlu diperkukuhkan dalam DUN Selangor untuk memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan mandat yang diterima dengan lebih berkesan.

Justeru, katanya, PAS kekal berpendirian Barisan Nasional (BN) perlu menang dalam PRK DUN Sungai Kandis untuk membolehkan ada suara pembangkang yang kuat di negeri ini.

"PAS mahu memperkukuhkan suara pembangkang dalam DUN. Rakyat memerlukan suara pembangkang yang kuat untuk semak dan imbang pentadbiran kerajaan negeri.

"Ahli PAS diminta bertindak dengan sewajarnya di Sungai Kandis," katanya kepada NSTP hari ini.

Roslan berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan yang dibuat calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, hari ini.

Dalam sidang media harian pagi tadi, Mohd Zawawi mendakwa akar umbi PAS di kawasan itu sudah bersetuju menyokongnya untuk menang dalam PRK itu.

Ditanya sama ada PAS akan membuat pendirian secara terang-terangan supaya penyokongnya mengundi calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, Roslan berkata, memandangkan parti itu tidak bertanding, semua itu dilakukan secara tertutup.

Terdahulu, Lokman, mendakwa UMNO dan PAS bersama-sama menentang calon PH PRK DUN Sungai Kandis.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, turut berterima kasih kepada parti Islam itu kerana mendorong ahlinya menyokong BN.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon Bebas, K Murthy.

Berita Harian X