Khamis, 26 Julai 2018 | 9:55pm
DATUK Lokman Noor Adam bertanya khabar dan beramah mesra dengan warga emas Khatijah Hassan (kiri) pada ziarah kasih kempen PIlihanraya Kecil Dun Sungai Kandis di Taman Setia, Johan Setia. - Foto Roslin Mat Tahir
DATUK Lokman Noor Adam bertanya khabar dan beramah mesra dengan warga emas Khatijah Hassan (kiri) pada ziarah kasih kempen PIlihanraya Kecil Dun Sungai Kandis di Taman Setia, Johan Setia. - Foto Roslin Mat Tahir

Saya juga ada sahabat dalam PKR - Lokman

KLANG: Kenyataan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bahawa akar umbi PAS memberi sokongan kepadanya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis disifatkan sekadar perang psikologi.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, berkata pimpinan PAS sendiri sudah mengeluarkan kenyataan mengakui mendorong ahlinya untuk menyokong calon UMNO.

"Bukan setakat ahli PAS, saya ada juga mendengar calon PKR mendakwa ada pengundi UMNO yang memberi sokongan kepadanya.

"Memang tidak mustahil kerana masing-masing (calon) ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Mungkin hubungan persahabatan dan kekeluargaan menyebabkan ada pengundi UMNO akan mengundi calon PKR," katanya ketika ditemui di Taman Setia di sini, hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, sebelum ini berterus terang supaya ahli parti berkenaan menyokong BN pada PRK itu.

Lokman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Zawawi pagi ini bahawa ahli akar umbi PAS memberi jaminan menyokongnya pada pilihan raya itu.

Mengulas lanjut, Lokman berkata beliau juga mempunyai ramai sahabat dalam PKR yang lebih mengenalinya berbanding Mohd Zawawi.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon bebas, K Murthy.

Berita Harian X