Khamis, 26 Julai 2018 | 11:23pm
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada majlis kenduri rakyat nasi ambeng di Masjid Teluk Menegun. - Foto Syarafiq Abd Samad
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada majlis kenduri rakyat nasi ambeng di Masjid Teluk Menegun. - Foto Syarafiq Abd Samad
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (dua dari kiri) bersama Calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua dari kanan) pada majlis kenduri rakyat nasi ambeng di Masjid Teluk Menegun, Klang. - Foto Syarafiq Abd Samad
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (dua dari kiri) bersama Calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua dari kanan) pada majlis kenduri rakyat nasi ambeng di Masjid Teluk Menegun, Klang. - Foto Syarafiq Abd Samad

UMNO, PAS mahu 'test market' - Syed Saddiq

KLANG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis disifatkan unik kerana menjadi 'ujian' awal kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kedua-dua parti itu dilihat seperti mahu saling menguji (test market) kerana tidak membabitkan pertembungan tiga penjuru antara ketiga-tiga parti.

"Jika Pakatan Harapan (PH) tidak menang besar dalam PRK ini, ia adalah 'signal' (isyarat) bahawa UMNO dan PAS akan bergabung menentang kita (PH).

"Ini bukan sekadar PRK, namun 'pesta' demokrasi besar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. Ia bakal menjadi garis ukur bagi melihat kerajaan sedia ada meneruskan agenda pembangunan di Selangor.

"Berikutan itu, kita perlu terus bekerja keras untuk berkempen dan terus mengutamakan soal kebajikan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Kenduri Rakyat Nasi Ambeng di Masjid Ar-Rahimin di Kampung Telok Menegon di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Kata Syed Saddiq, PPBM akan terus memberi sokongan bagi memastikan kerusi DUN itu kekal dimenangi PKR.

Dalam isu berasingan, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, perbincangan bersama Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai cadangan menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun dianggap sudah selesai.

"Ia berkaitan beberapa pindaan dan saya mahu memastikan perkara itu dimuktamadkan sebelum pilihan rayakan datang.

"Kita sudah selesai berbincang dan dalam proses memuktamadkan pindaan sedia ada sebelum dibentangkan di Kabinet dan diusulkan di Parlimen," katanya yang memaklumkan reaksi diterima setakat ini amat positif, terutama daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili BN dan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X