Jumaat, 27 Julai 2018 | 3:10pm
CALON PKR di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni. - Foto Syarafiq Abd Samad
CALON PKR di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni. - Foto Syarafiq Abd Samad

Mohd Zawawi harap undi penyokong PAS

SHAH ALAM: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yakin beliau mampu memperoleh sekurang-kurangnya separuh daripada undi penyokong PAS di kawasan itu.

Pengetua maahad tahfiz itu berkata, penduduk di Sungai Kandis, terutama masyarakat Islam, lebih memilih wakil rakyat yang mempunyai latar belakang sama dengan mereka.

"Saya akan serahkan kepada ahli PAS dan pemimpinnya di Sungai Kandis .

"Bagaimanapun, daripada maklum balas yang saya terima daripada ahli dan kepemimpinan PAS serta beberapa penyokong UMNO di kawasan ini, mereka cenderung memilih seorang ustaz mewakili mereka.

"Saya berharap untuk melihat sekurang-kurangnya separuh daripada penyokong PAS (daripada PRU-14) membuat pertimbangan yang wajar dalam memilih wakil rakyat mereka.

"Berdasarkan kepada latar belakang dan pengalaman saya, Insya-Allah, saya akan berikan yang terbaik kepada mereka (dan kawasan itu)," katanya pada sidang media hariannya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam, berkata UMNO dan PAS bersatu hati menentang Pakatan Harapan (PH) di PRK DUN Sungai Kandis.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, dilaporkan berterima kasih kepada parti Islam itu yang mendorong ahlinya untuk mengundi BN.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Turut terbabit dalam pertembungan tiga penjuru itu ialah calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X