Jumaat, 27 Julai 2018 | 4:11pm
CALON BN, Datuk Lokman Noor Adam (tengah) beramah mesra dengan orang ramai ketika berkempen di gerai Kampung Jawa sempena PRK DUN Sungai Kandis. - Foto Roslin Mat Tahir

UMNO, PAS perlu bergabung demi Islam

KLANG: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata, kerjasama antara UMNO dan PAS hanya boleh direalisasikan jika semua pihak membuang ego masing-masing.

Beliau berkata, kerjasama antara UMNO dan PAS penting dalam keadaan negara yang ketika ini berdepan dengan pelbagai isu, terutama mengenai hal ehwal Islam.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis diharap menjadi titik permulaan kepada UMNO dan PAS untuk membentuk lebih banyak kerjasama pada masa depan.

"Ya mungkin semua orang cakap UMNO dan BN tidak boleh menang di Sungai Kandis. Namun sekurangnya kita boleh bersatu atas dasar Islam dan Melayu," katanya ditemui pemberita selepas turun padang untuk berkempen di sini, hari ini.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau yakin kerjasama antara UMNO dan BN mampu membentuk suara pembangkang yang kuat.

"UMNO dan PAS ialah parti Melayu yang mempunyai pengaruh serta kekuatan sendiri. Kedua-dua parti perlu membentuk kesepakatan yang kuat untuk menentang mereka (Pakatan Harapan).

"Apabila PH melihat suara UMNO dan PAS sangat kuat, sudah tentu mereka lebih berhati-hati apabila bercakap mengenai Islam," katanya.


KEMPEN di Kampung Sungai Kandis menjelang PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos ini. - Foto Osman Adnan

Semalam, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PRK DUN Sungai Kandis disifatkan unik kerana menjadi 'ujian' awal kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

Syed Saddiq berkata, UMNO dan PAS dilihat seperti mahu saling menguji kerana tidak membabitkan pertembungan tiga penjuru antara ketiga-tiga parti.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti itu mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis.

Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata PH perlu dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini kerana masih gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi Shafiei mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Berita Harian X