X
Sabtu, 28 Julai 2018 | 11:40am
MURSYIDUL Am PAS, Hashim Jasin. - Foto Azhar Ramli
MURSYIDUL Am PAS, Hashim Jasin. - Foto Azhar Ramli

PAS Sungai Kandis menanti amanat pimpinan

SHAH ALAM: Pemimpin utama PAS dijadual mengadakan program khas bersama ahli parti itu di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, malam ini.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, dijadual menyampaikan kuliahnya selepas solat maghrib di Surau Telok Menegon, Sungai Kandis.

Selesai program kuliah, satu lagi program akan berlangsung di Markas PAS Kawasan Kota Raja Bukit Naga, Seksyen 32, di sini.

Program bertemakan Bangkit PAS Selangor itu akan mengisi slot ceramah perdana yang akan disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut dijangka bersama dalam program yang bermula jam 6.30 petang itu ialah pimpinan PAS Selangor diketuai pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi.

Bekas Ketua Kampung, Kampung Jawa yang juga ahli tegar PAS serta pimpinan PAS akar umbi, Ismail Abdullah berkata, kehadiran pemimpin utama parti hari ini memberi isyarat buat ahli untuk menyokong sama ada calon Barisan Nasional (BN) mahupun PKR.

Beliau berkata, makluman mengenai kehadiran pemimpin utama PAS termasuk Hashim sudah pun diberitahu lebih awal kepada semua ahlinya.

"Selain kita ada program di Kelab Sultan Sulaiman (Kampung Baharu, Kuala Lumpur) pada sebelah pagi, esok malam juga di surau akan ada kuliah disampaikan ustaz mursyidul am PAS sendiri.

"Ceramah dan program perdana di Bukit Naga penting bagi ahli PAS kawasan ini untuk mendapatkan pandangan pimpinan tertinggi mengenai calon mana yang perlu dipilih pada Sabtu depan. Kita harap ramai ahli akan hadir," katanya.

PAS dalam kenyataan rasminya sebelum ini meminta ahli parti itu memilih mana-mana calon yang bertanding termasuk calon bebas, selepas tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Bagaimanapun, beberapa pimpinan PAS pusat, iaitu Nik Abduh Nik Aziz dan Naib Presiden PAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, secara terbuka 'mendorong' ahli mereka supaya mengundi BN dan menolak calon Pakatan Harapan.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kota Raja, Saiful Bahri, ketika dihubungi menjelaskan, ceramah malam ini sedikit sebanyak akan merungkai kekeliruan yang mungkin dihadapi segelintir ahli PAS.

Namun, beliau yakin pimpinan tertinggi parti akan menggalakkan ahlinya untuk memilih mana-mana calon yang terbaik atau mungkin sebaliknya.

"Saya rasa ramai juga (ahli PAS) yang tidak turun mengundi dalam PRK kali ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menjangkakan peratusan keluar mengundi mungkin berkurangan dalam PRK kali ini berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, disebabkan beberapa faktor termasuk ahli PAS yang tidak sedia mengundi calon PKR atau BN manakala pengundi luar tidak pulang mengundi.

"Pengundi tidak begitu peduli dengan kehadiran PRK kali ini, bendera pun tidak banyak dipasang, tidak sama seperti ketika PRU lalu. Jadi, suasana PRK itu tidak ada dan ini mungkin mempengaruhi kehadiran pengundi Sabtu depan," katanya.

Ditanya mengenai program ceramah perdana, Saiful berkata ia mungkin lebih terarah kepada pasca PRU lalu dan persediaan PAS menghadapi PRU Ke-15.

Poster dan bahan hebahan Program Bangkit PAS Selangor turut dikongsikan di laman Fecebook PAS Selangor, petang semalam.

Berita Harian X