Sabtu, 28 Julai 2018 | 9:14pm
KHAIRY Jamaluddin bertemu dan beramah mesra dengan penduduk taman, bagi membantu berkempen dalam PRK DUN Sungai Kandis di Taman Setia, Johan Setia. - Foto Roslin Mat Tahir
KHAIRY Jamaluddin bertemu dan beramah mesra dengan penduduk Taman Setia, Johan Setia. - Foto Roslin Mat Tahir
KHAIRY Jamaluddin menyampaikan sumbangan bola kepada belia taman di Taman Setia, Johan Setia. - Foto Roslin Mat Tahir

UMNO perlu kuat atas nama parti sendiri - KJ

KLANG: UMNO perlu terus kuat dan kukuh atas nama parti keramat itu sendiri dan bukannya bergantung dengan parti lain.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin, berkata kerjasama di antara UMNO dan PAS mungkin hanya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

"Bagus jika ada kerjasama itu tetapi UMNO kena kuat terlebih dulu atas nama parti.

"Kenapa mahu bergabung? Kalau hanya bagi PRK kali ini tidak apa kerana mereka (PAS) tidak bertanding.

"Namun, jika mahu bergabung pada masa depan, kita kena tengok dulu," katanya ketika ditemui selepas program ziarah penduduk Taman Setia di sini, petang tadi.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pengundi perlu memilih Barisan Nasional (BN) bagi memastikan suara pembangkang lebih kuat, sekali gus menjadi saluran 'semak dan imbang' di Selangor.

"Kini, BN hanya memiliki empat kerusi DUN berbanding Pakatan Harapan (PH) yang terlalu banyak di negeri ini.

"Justeru, suara pembangkang perlu ditambah bagi membolehkan sesuatu isu dapat diajukan kepada kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan politik matang dapat dikekalkan sehingga berakhir PRK oleh calon bertanding.

"Takkanlah kita tidak boleh berjumpa dan bersalaman antara satu sama lain. Ini Malaysia baharu. Tiada politik ganas, politik samseng atau politik peribadi," katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru pada 4 Ogos ini membabitkan Datuk Lokman Noor Adam yang mewakili BN, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR dan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi.

Berita Harian X