Ahad, 29 Julai 2018 | 7:12pm
NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berucap ketika majlis pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pengumuman keputusan bertanding pimpinan tertinggi Timbalan Presiden Keadilan di Hotel De Palma. - Foto Hafiz Sohaimi
NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berucap ketika majlis pimpinan pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pengumuman keputusan bertanding pimpinan tertinggi Timbalan Presiden Keadilan di Hotel De Palma. - Foto Hafiz Sohaimi

Tidak perlu restu - Rafizi

KUALA LUMPUR: Keperluan mendapatkan 'restu' sebelum membuat keputusan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan kepemimpinan tertinggi parti bukan budaya PKR.

Naib Presidennya, Rafizi Ramli, berkata proses pemilihan PKR sebaliknya bersandarkan prinsip demokrasi yang membuka pintu seluasnya kepada mana-mana ahli bertanding sebarang jawatan.

"Soal restu atau tidak ialah spekulasi yang dibuat di luar kerana dalam PKR, sesiapa berhasrat untuk bertanding boleh failkan pencalonan.

"Kalau saya kata ya, ada nanti di luar kata saya gunakan restu Anwar (Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kak Wan (Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

"Kalau saya kata tidak, (dakwa) Anwar dan Kak Wan tidak restu sedangkan dalam PKR, siapa nak bertanding, dia dibenarkan bertanding dengan memfailkan pencalonan," katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Rafizi mengumumkan 18 barisan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menyebelahi 'kem reformasi 20 tahun' menjelang proses pencalonan mulai minggu depan dan dijangka ditutup pada 5 Ogos ini.

Mengulas kemungkinan penyusunan semula anggota Kabinet pasca pemilihan PKR, Rafizi berkata, ia dua isu berbeza kerana percaturan membabitkan pengurusan kerajaan tidak sama dengan hal ehwal parti.

Sehubungan itu, katanya, tiada keperluan untuk merumitkan keadaan dengan mewajibkan langkah penyusunan semula anggota Kabinet berpandukan keputusan pemilihan PKR yang dijangka diumumkan November ini.

"(Pemilihan PKR ialah) proses demokrasi, kena bezakan mana parti dan kerajaan kerana apa sekali pun keputusan, (soal) membabitkan kerajaan ialah kerajaan.

"Tidak semestinya ia perlu dirumitkan," katanya.

Menyentuh jangkaan lawan yang bakal dihadapi untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, Rafizi berkata, pertandingan bagi kerusi nombor dua PKR itu lazimnya membabitkan pertembungan banyak penjuru, berbanding satu lawan satu.

Berdasarkan corak pemilihan parti, katanya, sukar menjangkakan pesaing yang mungkin mencalonkan diri untuk jawatan berkenaan, termasuk penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Saya tidak tahu, tidak dapat teka kerana lebih penting adalah dapatkan pandangan akar umbi yang ketika ini mahukan saya bertanding.

"Saya tiada gambaran siapa yang akan bertanding. (Proses penamaan calon) akan berakhir seminggu dari sekarang. (Pertandingan dalam) PKR selalu meriah," katanya.

Berita Harian X