Selasa, 31 Julai 2018 | 11:09pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Zunnur Al Shafiq
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Zunnur Al Shafiq

'Saya penyandang, tak lawan sesiapa...'

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, hari ini seolah-olah memberi bayangan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.

"Saya penyandang. Saya tidak bertanding menentang sesiapa," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen.

Beliau menjawab demikian apabila ditanya jika akan menentang Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengesahkan bakal merebut jawatan nombor dua parti itu.

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, turut menegaskan tidak wujud kem dalam parti itu dan apa yang diperkatakan hanyalah 'tanggapan pihak tidak bertanggungjawab'.

Kenyataan itu bercanggah dengan pengakuan beberapa pimpinan PKR sebelum ini bahawa wujud beberapa kem dalam parti itu menjelang penamaan calon dan pemilihan PKR, bulan depan.

"Tidak ada kem. Itu tanggapan mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Semua ahli parti adalah keluarga besar PKR yang mempunyai cita-cita dan hasrat memperkukuhkan parti," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR antaranya Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Whip, Datuk Johari Abdul mengesahkan wujud beberapa kem dalaman menjelang pemilihan parti.

Ahad lalu, Rafizi mengumumkan pimpinan berada dalam pasukannya yang digelar Reformasi 20 Tahun.

Antara pimpinan yang berada dalam kumpulan Rafizi adalah Johari dan Naib Presiden yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Mohamed Azmin berkata, tumpuannya kini ialah terhadap gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

"Begitu juga perbahasan dalam Parlimen kerana itu tanggungjawab saya sebagai menteri dan Timbalan Presiden parti bagi memastikan calon kita menang dengan majoriti lebih besar," katanya.

Berita Harian X