Sabtu, 4 Ogos 2018 | 12:03pm
MOHD Zawawi Ahmad Mughni bersama isteri Hazlina Abdul Razak selepas selesai mengundi di SK Jalan Kebun, Shah Alam sempena PRK DUN Sungai Kandis hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad
MOHD Zawawi Ahmad Mughni bersama isteri Hazlina Abdul Razak selepas selesai mengundi di SK Jalan Kebun, Shah Alam sempena PRK DUN Sungai Kandis hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

Cuma pandangan pemimpin PAS

SHAH ALAM: Ahli PAS berhak untuk mengundi calon yang dirasakan layak dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Calon PKR Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata apa yang disuarakan pimpinan atasan PAS yang menyeru ahli mereka mengundi Barisan Nasional (BN) adalah satu pandangan.

Beliau berkata, dalam sistem demokrasi siapa saja boleh beri pandangan dan sokongan namun pengundi berhak memilih calon yang layak serta sesuai untuk membawa suara mereka ke Dewan.

"Dalam sistem demokrasi saya percaya setiap pengundi, setiap warganegara mempunyai pandangan dan mereka boleh bebas untuk pemimpin.

"Namun, saya kira kerjasama ini adalah satu tindakan yang jelas, yang sebelum ini kita lihat seolah-olah mereka menafikan ada hubungan kerjasama.

"Dalam PRK Sungai Kandis ini, jelas mereka sebenarnya sudah mempunyai pakatan dan hubungan untuk membina satu blok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun.

Ketika ditanya adakah, kerjasama PAS dan UMNO akan menjejaskan jumlah undi beliau pada hari ini, Mohd Zawawi berkata perlu tunggu dan lihat sehingga selesai kiraan undi nanti.

"Kita tunggu dan lihat. Saya yakin dengan trend perkembangan yang berlaku mutakhir ini kerana pengundi-pengundi di bawah semakin matang menilai. Jadi saya harap keputusan seperti mana kami jangkakan," katanya.

Mohd Zawawi juga berkata beliau sudah berjumpa dengan beberapa pemimpin PAS dan UMNO yang menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru itu turut membabitkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, dan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X