Ahad, 5 Ogos 2018 | 1:55pm
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali". - Foto Syarafiq Abd Samad
DATUK Seri Mohamed Azmin Ali". - Foto Syarafiq Abd Samad

Azmin akan serah borang petang ini

KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai percaturan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelang pemilihan PKR akan terjawab, petang ini.

Menerusi hebahan media, Timbalan Presiden PKR itu dijangka menyerahkan borang pencalonannya pada kira-kira jam 4 petang di ibu pejabat parti, di sini.

Bagaimanapun, difahamkan, borang pencalonan itu akan dihantar oleh wakilnya kerana Mohamed Azmin ketika ini dilaporkan berada di Singapura atas urusan rasmi.

Media sebelum ini melaporkan Mohamed Azmin yang Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengambil pendekatan 'mengunci mulut' ketika berulang kali diasak berhubung keputusannya untuk bertanding Majlis Pimpinan Tertinggi PKR.

Antara alasan yang diberikan ialah untuk mengutamakan tanggungjawabnya menjawab pelbagai persoalan di Dewan Rakyat, selain menguruskan hal ehwal kementerian selepas diumum dilantik menyandang jawatan berkenaan pada 18 Mei lalu.

Pertandingan merebut kerusi nombor satu dan dua PKR kali dijangka hangat susulan kononnya wujud kemungkinan pertembungan Mohamed Azmin dan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden.

Khabar angin lain yang turut kedengaran ialah kemungkinan Mohamed Azmin mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden, namun bakal menyaksikan saingan daripada bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Menerusi status di laman Facebook, Rafizi sebelum ini mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden, selain memperkenalkan pasukannya yang dikenali sebagai 'reformasi 20 tahun' bagi memastikan hala tuju dan landasan PKR tidak tergelincir daripada perjuangan sebenar.

Berita Harian X