X
Ahad, 5 Ogos 2018 | 5:56pm
AHLI Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amirudin Shari. - Foto Zunnur Al Shafiq
AHLI Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amirudin Shari. - Foto Zunnur Al Shafiq

Politik kabilah bukan 'game' kami

KUALA LUMPUR: Kemunculan kem, termasuk 'reformasi 20 tahun' disifatkan politik kabilah yang tidak pernah dijadikan sandaran dalam pemilihan PKR.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Amirudin Shari, ketika menegaskan perkara itu berkata nama berkenaan dan beberapa tuduhan liar sengaja dicipta serta dimomokkan sejak 2010.

Meskipun lapan tahun berlalu, katanya, tuduhan buruk dan label terhadap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih berterusan, namun kini ia bertukar watak.

"Setakat ini kita tidak menggalakkan politik kabilah dalam pemilihan parti, nama itu sengaja dicipta, (manakala) tuduhan buruk yang dilontarkan kepada beliau (berlaku) sejak 2010 lagi.

"Tapi ia kini bertukar watak saja," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau mengulas nama pasukan Mohamed Azmin menjelang pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, susulan Rafizi Ramli mengumumkan kem bekas Ahli Parlimen Pandan itu sebagai 'reformasi 20 tahun'.

Amirudin berkata, hasrat Mohamed Azmin mempertahankan jawatannya, berbanding bertindak mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dibuat hasil perbincangan dengan pelbagai pihak.

Selain itu, kata Amirudin, ia bagi memperkukuhkan kepemimpinan parti dan kepatuhan terhadap institusi presiden.

"Pasti sangat baik untuk keadilan (apabila tiada pencabar Anwar) kerana kebanyakan parti yang menyaksikan pertembungan peringkat presiden menunjukkan mereka banyak krisis.

"Oleh itu, Datuk Seri Azmin mengambil keputusan untuk mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR," katanya.

Terdahulu, borang pencalonan Mohamed Azmin diserahkan ke ibu pejabat parti pada jam 4.45 petang tadi, sempena pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, tahun ini.

Amirudin ialah penyokong pencalonan Mohamed Azmin, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham, menjadi pencadang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X