Rabu, 15 Ogos 2018 | 12:46pm
KHAIRY Jamaluddin. - Foto NSTP

UMNO Sabah perlu kekal bersama parti, BN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berharap UMNO Sabah kekal bersama parti itu dan Barisan Nasional (BN) walaupun selepas menyertai Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS).

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, penyertaan UMNO Sabah dalam blok pembangkang baharu di negeri itu, tidak semestinya bererti mereka perlu keluar daripada parti.

"Kita harap UMNO Sabah terus bersama UMNO dan BN.

"Jika ada pun gabungan parti Sabah ini, tak semestinya menyebabkan mereka perlu keluar daripada UMNO.

"Mungkin gabungan ini lebih kepada satu platform untuk mereka mengusahakan isu berkaitan Sabah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, UMNO Sabah dilaporkan mengesahkan menyertai Parti Gabungan Bersatu Sabah (PGBS) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor, dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana BN negeri kehilangan parti komponennya, namun memberi jaminan tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO akan meninggalkan parti.

Berita Harian X