Rabu, 15 Ogos 2018 | 6:47pm

Tak adil buang, singkir Najib sekarang - Tajuddin

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, membidas beberapa pemimpin parti itu yang mendesak bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, menjauhi parti.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Najib tidak sepatutnya dilayan seolah-olah liabiliti kepada parti.

Katanya, mahkamah belum menentukan sama ada Najib bersalah atas pelbagai tuduhan dihadapi atau sebaliknya.

Tajuddin berkata, tidak adil bagi pemimpin UMNO cuba menyingkir dan meninggalkan Najib sendirian semata-mata kerana persepsi dan tuduhan yang melingkari Ahli Parlimen Pekan itu.

“Sekarang ini beliau (Najib) dibicara dan dihukum dalam Dewan Rakyat dan media sosial. Apakah kita nak tinggalkan dia kerana persepsi dan tuduhan?

“Tidak adil jika nak buang dan singkirkan dia sekarang. Kalau kita tak boleh perjuangkan keadilan untuk bekas pemimpin, bagaimana nak perjuangkan keadilan kepada rakyat?

“Prinsip kena ada. Tak guna menang pilihan raya jika menang tanpa prinsip. Tak guna dapat sokongan rakyat kalau tak berprinsip. Itu kemenangan yang tak bermaruah dan tak berkat.

“Kalau dah terbukti (Najib bersalah) nanti, saya sendiri akan cakap pada dia, ‘Tuan Haji, berehatlah. Awak duduklah diam-diam’,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas saranan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, yang mahu Najib menjarakkan diri daripada parti supaya UMNO kekal relevan ke arah melancarkan transformasi kepemimpinan baharu.

Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga bersetuju supaya Najib memberi ruang kepada pimpinan baharu parti mencorakkan hala tuju UMNO tanpa gangguan.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata, UMNO perlu ‘merehatkan’ Najib daripada sebarang kempen pilihan raya bagi memastikan permainan persepsi dalam kalangan pengundi tidak terus menjadi ‘racun’ kepada kebangkitan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pula berkata, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis adalah manifestasi keengganan parti menyesuaikan diri dengan realiti baharu.

Tajuddin mengingatkan pemimpin dan ahli parti yang ‘menyerang’ Najib supaya tidak menjual prinsip dan maruah diri semata-mata kerana mahu kembali berkuasa.

“Kepada rakan dalam parti yang buat kenyataan sedemikian, sama ada pemimpin atau orang di bawah, jangan kemaruk nak berkuasa dan membuang prinsip, maruah dan harga diri.

“Kamu nak buang Najib (kerana) nak dapat sokongan orang itu sehingga sanggup bunuh kawan sendiri, tinggalkan bekas pemimpin, ini tidak berprinsip.

“Saya berpegang pada prinsip. Biar menang kerana bertarung dengan penuh integriti dan kredibiliti,” katanya.

AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X