Rabu, 15 Ogos 2018 | 11:16pm
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Hadi Awang menyampaikan watikah calon pas, Dr Halimah Ali pada Majlis Pengisytiharan calon Pilihanraya Kecil n32 Dun Seri Setia di Desa Mentari, Petaling Jaya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Dr Halimah pilihan PAS

PETALING JAYA: PAS memilih Dr Halimah Ali, sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Pengumuman dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada majlis pengisytiharan calon PRK Seri Setia di Desa Mentari di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, pada 2 Ogos lalu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Balakong dan Seri Setia diadakan serentak pada 8 September dengan hari penamaan calon ditetapkan 18 Ogos dan hari mengundi awal 4 September ini.

Dr Halimah berkata, ini adalah kali kelima beliau bertanding mewakili PAS.

"Saya yakin kita perlu memberikan suara rakyat yang kuat kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Kita perlu memberi suara dan isyarat yang kuat kepada kepimpinan negeri dan pusat kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Beliau turut menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor selain pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang (2008-2014).

Dr Halimah yang dilahirkan di Marudi, Sarawak, juga adalah bekas Ketua Urusan Muslimat Persatuan Mahasiswa Islam Tasmania, mendapat pendidikan di Elizabeth Matriculation College, Hobart Tasmania, seterusnya memperoleh Ijazah Perubatan dari Universiti Tasmania selain memiliki Diploma Tasawwur Islam ILHAM.

Berita Harian X