Khamis, 16 Ogos 2018 | 12:33am
CALON PAS, Dr Halimah Ali selepas diumumkan Calon PAS Bagi N32 Dun Seri Setia di Desa Mentari, Petaling Jaya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Dr Halimah berpengalaman, berpengaruh di Selangor

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap Dr Halimah Ali adalah seorang yang berpengalaman dalam menghadapi pilihan raya dan ini menjadi antara kriteria beliau dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia pada 8 September depan.

Selain faktor itu, Abdul Hadi berkata, Dr Halimah dipilihan kerana beliau adalah seorang pemimpin yang berpengaruh di Selangor.

“Beliau merupakan seorang yang berpengaruh di Selangor. Dr Halimah juga sudah beberapa kali hadapi pilihan raya dan (pernah) menang selain beliau berpengalaman dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

“Ini sangat penting bagi wakil rakyat yang bukan kerajaan,” katanya di sini, malam ini.

Abdul Hadi berkata demikian di majlis mengumumkan bekas anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu sebagai calon PAS bagi PRK Seri Setia.

Turut hadir pada majlis ini adalah Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan; Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi dan bekas calon Barisan Nasiona (BN) bagi PRK DUN Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam.

Pada majlis itu juga, Abdul Hadi menyerahkan watikah pencalonan PAS kepada Dr Halimah, 58, yang juga merupakan Anggota Jawatankuasa PAS pusat.

Sementara itu, Dr Halimah menyeru pengundi di kawasan DUN Seri Setia untuk keluar mengundi pada 8 September nanti bagi memperkuatkan suara pembangkang di DUN Selangor.

Beliau berkata langkah itu perlu supaya suara rakyat boleh diketengahkan di DUN negeri sekali gus mampu mendesak Kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji manifesto mereka seperti mana yang dituntut rakyat.

“Selain itu, sepanjang waktu berkempen 21 hari ini saya akan berusaha turun padang bertemu seramai mungkin pengundi di DUN Seri Setia ini bagi mendengar suara hati mereka sendiri.

“Saya mahu fokus menyelesaikan masalah rakyat, terutama membabitkan masalah sosioekonomi sekiranya saya diberi mandat sebagai ADUN di sini,” katanya.

Dr Halimah berkat, beliau yakin PAS mampu memenangi PRK itu sekiranya mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pengundi yang mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Penamaan calon bagi PRK itu akan berlangsung pada Sabtu ini.

PRK DUN Seri Setia merupakan PRK kedua diadakan selepas PRU ke-14 (PRU14), berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Shaharuddin daripada PKR mengalahkan tiga pencabarnya Datuk Yusoff HM Hanif daripada BN, Mohd Ghazali Daud (PAS) dan calon Bebas Dr S. Vignes dengan majoriti 19,372 undi.

BN sebelum ini memutuskan untuk tidak bertanding di Seri Setia, sebaliknya memberi laluan kepada PAS untuk meletakkan calon pada PRK itu yang turut diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong. - BERNAMA

Berita Harian X