Khamis, 16 Ogos 2018 | 9:31pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) pada sidang media selepas tamat pada sesi pembahasan Sidang Dewan Negeri, Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

BERSATU laksana kaedah satu undi satu ahli

ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengubah kaedah pemilihan kepemimpinan dengan setiap ahli yang layak berhak mengundi selepas perlembagaan parti dipinda dan diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Parti BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pada asalnya mengikut perlembagaan sedia ada, sistem pemilihan adalah melalui perwakilan seperti yang diamalkan UMNO yang terdahulu sebelum mereka mengubahnya melalui undian peringkat Bahagian.

Beliau yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata, UMNO kini sudah mengubahnya maka BERSATU mahu buat lebih baik demi menyuburkan demokrasi.

“Proses pemilihan kepemimpinan parti akan dibuat mengguna kaedah baharu di mana undian dibuat di bahagian dengan setiap ahli yang layak dapat memberi satu undi sahaja, bukan perwakilan.

“Buat masa ini, BERSATU mempunyai kira-kira 140,000 ahli yang layak mengundi membabitkan kriteria berdaftar sebagai ahli sebelum 30 April lalu manakala yang berdaftar selepas tarikh itu termasuk selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak layak untuk mengundi.

“Bagi membolehkan kaedah baharu dilaksanakan, BERSATU akan membuat mesyuarat agung luar biasa (EGM) dalam masa terdekat bagi membolehkan kita mendapat kelulusan pindaan sebelum diserahkan kepada ROS,” katanya pada sidang media selepas penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-14, di sini hari ini.

Berhubung pemilihan parti, Mukhriz berkata, pihaknya akan tetapkan tarikh yang relevan bagi membolehkan proses demokrasi dapat dilaksanakan dengan semua jawatan dipertandingkan.

“Buat masa ini, mesyuarat sayap akan diadakan selepas itu peringkat cawangan, bahagian dan kemudian pemilihan hari yang sama pada mesyuarat bahagian.

“Kita juga sedang merangka kaedah pengundian membabitkan peraturan mesyuarat termasuk kaedah pemilihan malah Jawatankuasa Pemilihan parti (JPP) BERSATU juga sudah diwujudkan,” katanya.

Mengulas mengenai JPP, Mukhriz berkata kepemimpinan tertinggi parti juga sudah bersetuju melantik bekas Veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi JPP (BERSATU) berkuatkuasa 10 Ogos lalu.

“Bekas Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU berkuat kuasa tarikh yang sama,” katanya.

Berita Harian X