Ahad, 19 Ogos 2018 | 1:31pm

Pergiat kempen pujuk keluar mengundi

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berikrar mempergiatkan kempen untuk menarik lebih ramai pengundi keluar mengundi, 8 September ini.

Halimey berkata, peratusan keluar mengundi yang sedikit pada PRK DUN Sungai Kandis, 4 Ogos lalu menunjukkan terdapat kelemahan yang perlu dikaji bagi mengelak perkara sama berulang pada PRK kali ini.

“Kita sudah berbincang dengan kepemimpinan negeri dan Pusat. Apa yang berlaku di Sungai Kandis tidak harus berulang dan kami belajar daripada pengalaman serta kelemahan yang berlaku.

“Kita akan mempertingkatkan lagi gerak kerja, malah setiap pemimpin tempatan di pusat daerah mengundi akan memastikan pengundi mereka keluar mengundi pada hari terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH PRK Seri Setia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Halimey berkata, pihaknya juga sudah merangka beberapa strategi untuk meningkatkan lagi jumlah peratusan mengundi kali ini.

“Tidak perlu saya ceritakan namun kita ada strategi yang akan digunakan. Apa yang paling penting ialah PH mahu pengundi keluar mengundi beramai-ramai pada 8 September depan,” katanya.

Keputusan PRK Sungai Kandis menyaksikan penurunan mendadak peratusan keluar mengundi, kedua paling rendah selepas PRK DUN Penanti pada 2009 yang berlangsung setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12).

Jumlah peratusan keluar mengundi PRK Sungai Kandis hanya mencatatkan sebanyak 49.4 peratus walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan sebanyak 80 peratus yang akan keluar mengundi.

PRK Seri Setia yang menyaksikan pertembungan antara Halimey dan calon PAS, Dr Halimah Ali diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Pada PRU-14, Allahyarham Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

HALIMEY Abu Bakar (tengah) pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Rakyat Adun Seri Setia, Kelana Jaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Berita Harian X